Sinopsis Diandra Slot Lestary TV3
Mengisahkan Diandra (Nur Fathia) atau nama sebenarnya Puteri Diandra Fikri yang juga anak kepada seorang hartawan terkenal iaitu Datuk Fikri. Diandra seorang gadis yang lasak, ceria dan berminat dalam seni mempertahankan diri terutamanya, ‘kick-boxing’.

Datuk Fikri berharap agar Diandra akan bekerja di syarikatnya tetapi Diandra yang lebih suka sesuatu mencabar terpaksa mengecewakan ayahnya.

Sementara itu, Adam Fahmi (Aiman Hakim Ridza) pula seorang pelakon terkenal. Dia bukan saja kacak tetapi bakat semula jadi dalam lakonan juga membuatkannya sentiasa popular dalam kalangan peminatnya.

Adam menjadi pujaan ramai dan apa saja drama dan filem yang dilakonkannya pasti menjadi ‘box office’. Oleh kerana populariti dan kelancangan mulutnya, Adam mempunyai ramai musuh sehingga dia menerima ugutan bunuh.

Selepas berbincang dengan rakan baiknya Kamal, Adam bersetuju untuk mengambil seorang pembantu peribadi dan juga pengawal keselamatan yang boleh menguruskan jadual dan keselamatan dirinya.

Apa yang tidak dijangka Adam ialah Kamal mencadangkan kawan baiknya Diandra. Walaupun masing-masing tidak berkenan dan tidak bersetuju, selepas dipujuk oleh Kamal, Adam dan Diandra cuba bekerjasama.

Diandra meluat dengan perangai Adam yang angkuh dan juga kaki perempuan manakala Adam pula melayan Diandra yang lasak itu seperti seorang lelaki.

Diandra yang selalu dibuli mencari peluang untuk mengenakan Adam sehingga suatu hari mereka bergaduh lagi di lokasi penggambaran, di mana Diandra yang tidak tahan diperli menolak Adam ke kolam renang.

Tiada siapa yang mahu menolong kerana sikap ego Adam yang sering kali menyakiti hati orang lain. Akhirnya Diandra menjadi panik apabila dia mendapati Adam tidak pandai berenang dan hampir lemas.

Bagi menebus kesalahannya, Diandra melayan kerenah Adam sepanjang menerima rawatan di hospital. Barulah Diandra mempunyai peluang untuk mengenali isi hati Adam yang sebenarnya seorang yang sensitif.

Adam juga mula berbaik-baik dengan Diandra dan sudi berkongsi masalah dengannya. Lama-kelamaan Diandra mula mempunyai perasaan aneh terhadap Adam malah dia juga mula cemburu terhadap bekas kekasih Adam, Fida yang kembali menagih kasih Adam.

Lakonan
Aiman Hakim Ridza, Nur Fathia, Datuk Jalaluddin Hassan, Nur Risteena, Shawal Ruslan, Qazem Nor, Nizam Zaidie, Amran Ismail, Yaya Maembong

Mulai hari ini (20 ogos 2013), setiap Selasa di TV3 - 13 episod