Didik anak gosok gigi

Teknik didik anak gosok gigi

Antara panduan yang boleh diikuti ibu bapa ialah:
Pada ketika usia kanak-kanak mencecah tiga tahun, ibu bapa boleh memperkenalkannya dengan berus dan ubat gigi kanak-kanak.

Tetapi pastikan ibu bapa yang menggosok gigi anak dan tidak membiarkan anak melakukannya sendiri bagi memastikan gigi digosok dengan baik dan anak tidak tertelan ubat gigi.

Kebanyakan ibu mengambil posisi di hadapan ketika mengajar anak-anak.

Teknik ini sebenarnya salah, untuk lebih berkesan ibu harus berada di belakang, sambil memegang tangan anak dan menunjukkan cara membersih lidah dan memberus gigi yang tepat.

Ajar mereka menggosok gigi mengikut jadual setiap pagi dan malam. Pastikan ibu bapa juga menjaga gigi dan jika boleh, lakukannya bersama anak mereka.

Pilih berus gigi dan ubat gigi se­suai mengikut peringkat usia kanak-kanak. Berus gigi beraneka bentuk serta warna akan mempengaruhi kanak-kanak memberus gigi.

Seawal usia dua setengah tahun, bawa anak berjumpa doktor gigi walaupun dia tidak berhadapan dengan masalah gigi.

Jangan tunggu sehingga giginya sakit kerana ia akan meninggalkan ‘pengalaman ngeri’ apabila berhadapan doktor gigi. Lawatan pertama tanpa kerosakan akan membuatkan dia suka dan me­nyenangi doktor gigi.

Jadikan lawatan ke doktor gigi sebagai perjumpaan ­keluarga. Kanak-kanak cenderung untuk meniru sikap ibu bapa.

Rasa gerun dan gentar pada doktor gigi akan hilang dengan sendirinya.

Jika anak menikmati makanan manis, ajar dia menggosok gigi selepas makan atau minum.

Ajar anak memilih snek yang kurang gula. Makanan yang manis elok diberi selepas waktu makan dan bukan antara waktu makan.

Air liur pada waktu makan akan membantu membersihkan gula dalam mulut.

Ada pelbagai punca yang menyebabkan masalah gigi. Antaranya adalah pembersihan gigi yang tidak betul menyebabkan kewujudan plak atau lendir selaput gigi yang mengakibatkan gigi cepat rosak. Justeru, pembersihan efektif dan teknik yang betul sangat diperlukan.

Kerosakan gigi susu yang menyeluruh dan reput disebabkan tiada tabiat menggosok gigi sejak kecil. Ini ditambah pula dengan tabiat memakan makanan yang terlalu banyak mengandungi gula, tetapi tidak pula membersihkan gigi selepas makan.

Menghisap puting, susu botol atau menghisap jari juga antara punca masalah gigi. Pastikan kanak-kanak tidak menghisap puting atau menghisap jari.

Tabiat ini akan mengganggu pembentukan tulang rahang dan boleh menyebabkan giginya jongang. Jika anak menghisap susu botol, pastikan puting susu dijauhkan dari mulut ketika dia tidur.

sumber-metro

1 Ulasan

  1. betul2..anak sedara selalu malas nk gosok gigi sampai jadik rongak..hehe

    BalasPadam