LONDON 16 Okt. - Bongkah ais di Artik akan cair sepenuhnya semasa musim panas menjelang 20 hingga 30 tahun dari sekarang, demikian menurut penemuan terbaru oleh satu pasukan penyelidikan di kutub utara.

Menurut ekspedisi yang diketuai pengembara, Pen Hadow berkata, kemungkinan besar kutub utara tidak akan mempunyai ais semasa musim panas dalam tempoh sedekad.

Pengembara veteran, Hadow dan dua lagi rakyat Britain yang menjelajah kutub utara selama 73 hari dalam musim bunga, mengambil lebih 6,000 ukuran dan pemantauan ais laut di sana. Data mentah yang diperoleh dari Mac hingga Mei lalu telah dianalisis dan seterusnya memberikan ramalan mengenai keadaan bongkah ais.

"Liputan ais musim panas akan hilang sepenuhnya dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun tetapi dalam masa kurang daripada itu ia akan berkurangan dengan banyak.

"Dalam masa 10 tahun, kawasan Artik akan menjadi laut lepas," kata ketua kumpulan fizik lautan polar dari Universiti Cambridge, Profesor Peter Wadhams.

Bermula dari utara Kanada, kumpulan yang disertai Hadow, Martin Hartley dan Ann Daniels berski untuk mengukur ketebalan bongkah ais yang tinggal, ketumpatan dan kedalaman salji serta mengambil bacaan suhu persekitaran dan lautan.

Sepanjang laluan sejauh 450 kilometer, purata ketebalan ais adalah 1.8 meter dan ukuran 4.8 meter jika mengambil kira rabung ais.

"Ais setebal itu adalah ais tahun pertama yang lebih mudah cair dalam musim panas, manakala ais bertahun-tahun semakin berkurangan dengan banyak. Ia adalah contoh konkrit perubahan global sedang berlaku," kata Wadhams. - AFP

-sumber-utusan