Filem This Is It ‘meletup’

LONDON – Walaupun bercorak dokumentari, filem This Is It yang memaparkan persiapan konsert terakhir Michael Jackson (gambar) ‘meletup’ dengan jumlah kutipan mencecah £12 juta (RM67.8 juta) pada hari pertama tayangannya di seluruh dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Sambutan hangat tersebut sama sekali di luar jangkaan para penggiat filem Hollywood.

This Is It memaparkan aksi lincah Michael ketika mengadakan latihan pentas sempena siri konsert kemunculan semula Raja Pop itu di London sebelum kematiannya pada 25 Jun lepas.

Filem itu memecahkan carta kutipan Box Office di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada dengan kutipan £5 juta (RM28.2 juta) manakala £1.2 juta (RM6.7 juta) lagi diperoleh di Britain.

“Sambutan hangat peminat menandakan permulaan menakjubkan buat filem ini dan ia membuktikan bahawa Michael Jackson masih memiliki daya tarikan global,” kata seorang jurucakap studio Columbia Pictures yang menerbitkan This Is It.

Susulan sambutan luar biasa itu, tempoh dua minggu penayangannya akan dilanjutkan manakala cakera video digital (DVD) filem itu pula dijadual berada dalam pasaran pada tahun depan. – Agensi

-sumber-kosmo

3 Ulasan