Kapal perang terlaju di dunia

BATH , Maine 23 Okt. - Keperluan tentera laut Amerika Syarikat (AS) untuk memiliki kapal perang laju bakal dipenuhi oleh dua buah kapal yang telah mencapai kelajuan seperti kenderaan di lebuh raya semasa menjalani ujian di laut.

Kapal Independence itu boleh mencapai kelajuan maksimum 45 knots atau kira-kira 87 kilometer sejam dan kelajuan 44 knots (85 kilometer sejam) secara berterusan selama empat jam semasa menjalani ujian pembina kapal yang berakhir pada bulan ini dekat Pantai Teluk Mexico.

Kapal Freedom yang sepanjang 115 meter dan dibina oleh kontraktor pertahanan berasingan, juga didapati telah mencapai kelajuan serupa.

Kedua-dua versi yang dikenali sebagai Littoral Combat Ship (Kapal Tempur Pesisir) itu menggunakan enjin diesel berkuasa tinggi dengan bantuan turbin gas untuk bergerak lebih laju.

Kapal-kapal tersebut menggunakan jet-jet air boleh kemudi bagi menggantikan kipas dan kemudi, selain mampu mengharungi perairan lebih cetek berbanding kapal perang biasa, membolehkannya belayar lebih hampir dengan pantai dan memburu lanun dengan lebih berkesan.

Pembinaannya telah dipercepat kerana tentera laut mahu kapal yang boleh beroperasi di kawasan pesisir.

Freedom dijangka mula beroperasi tahun depan, dua tahun lebih awal daripada jadual.

Independence ialah kapal perang berbadan aluminium yang dibina oleh Austal USA di Mobile, Alabama. Kontraktor utama ialah anak syarikat General Dynamics, Bath Iron Works di Maine.

Lockheed Martin Corp pula mengetuai pasukan yang membina Freedom di Marinette, Wisconsin. Ia nampak seperti kapal perang konvensional dengan badan diperbuat daripada keluli.

Kedua-dua pasukan bersaing untuk membolot kontrak lumayan kerana tentera laut merancang untuk memilih sama ada Lockheed Martin atau General Dynamics sebagai pembina, bukan kedua-duanya.

Tentera laut lambat laun merancang untuk memiliki 55 kapal perang laju seumpamanya. - AP

-sumber-utusan

4 Ulasan