Lingkaran aneh belum terungkai



LINGKARAN aneh atau crop circle yang selalunya terjadi di ladang gandum dan barli masih kekal sebagai antara misteri paling membingungkan lantaran ia bercorak geometri atau abstrak yang setiap sudutnya mempunyai kiraan sama.

Kejadian paling awal direkodkan pada abad ke-17 dengan imej potongan kayu menggambarkan syaitan membuat putaran di padang dengan sabit panjang. Risalah yang disebarkan seiring gambaran itu menjelaskan seorang peladang marah dengan harga yang diminta oleh seorang tukang mesin rumput dan berkata dia rela ‘menjadikan dirinya syaitan’ dan melakukan sendiri tugas itu.

Laporan menyatakan pada malamnya kawasan itu bercahaya seolah-olah terbakar dan keesokan paginya, crop circle terbentuk, dikatakan hasil kerja syaitan.

Seiring masa, orang ramai mula mendakwa melihat cahaya di langit yang tidak boleh dijelaskan dan akhirnya syaitan tidak lagi didakwa menjadi dalang dengan kehadiran crop circle, sebaliknya makhluk asing dan kapal angkasa mereka dipersalahkan. Sehingga hari ini, crop circle sering dikaitkan dengan kehadiran objek terbang tidak dikenali atau UFO.

Di kalangan mereka yang mempercayai piring terbang menghasilkan crop circle juga yakin bentuk di ladang itu sebenarnya mesej daripada bentuk kehidupan yang lebih bijak - mungkin memberi amaran mengenai alam sekitar dan nasib bumi.

Pada 1970-an, banyak kejadian lingkaran aneh itu berlaku di kawasan pedalaman Inggeris dan menjelang 1980-an fenomena itu diberi publisiti meluas dan crop circle mula berlaku di seluruh dunia.

Pada awal kejadian, lingkaran aneh itu berbentuk ringkas tetapi reka bentuknya semakin rumit dan bersimetrik, malah sebahagiannya mempunyai kesan tiga dimensi jika diteliti dari udara.

Misteri kehadiran crop circle seakan-akan dapat dibongkar apabila pada 1991, dua lelaki mengumumkan mereka sebenarnya dalang menghasilkan lingkaran aneh berkenaan dan berkata idea itu timbul ketika mereka berada dalam sebuah bar pada 1976.

Doug Bower dan Dave Chorley menunjukkan bagaimana mereka menggunakan cuma papan, tali, topi dan wayar untuk menghasilkan crop circle. Sementara itu, pengasas Circlemakers.org, John Lundberg dan kumpulannya, pada 1995 membuktikan crop circle ‘yang tulen’ sebenarnya boleh dipalsukan.

Seorang lagi pereka crop circle, Matt Ridley, menulis teknik mudah yang digunakan untuk menghasilkan crop circle dengan memperdayakan ramai orang termasuk pakar. Panduan bagaimana untuk mewujudkan lingkaran aneh itu boleh didapati dengan mudah secara online dan pertandingan menghasilkan crop circle kerap diadakan di United Kingdom.

Di sebalik bukti dan pengakuan pereka crop circle, masih ramai percaya ia adalah fenomena yang tidak dapat dijelaskan. Hujahnya ialah reka bentuknya terlalu rumit dan pelaksanaannya terlalu sempurna untuk dilakukan manusia.

Bagi mencari kebenaran, Discovery Channel memilih pakar aeronautik dan penuntut aeronautik daripada Institut Teknologi Massachusetts pada 2002 dan meminta mereka menghasilkan crop circle. Penyelidik lingkaran aneh itu, Nancy Talbott, mengadakan rundingan dengan pasukan itu dan memberitahu ada tiga petunjuk utama yang membezakan crop circle ‘sebenar’ dengan yang dihasilkan manusia atau palsu.

Menurut Talbott, crop circle sebenar memaparkan ruas tunjang tumbuhan apical yang dipanjangkan, letusan kaviti dalam tunjang tumbuhan dan kehadiran 10 hingga 50 mikrometer garis pusat besi bermagnet dalam tanah. Pasukan berkenaan gagal menghasilkan crop circle yang memenuhi tiga syarat utama itu.

Sehingga kini banyak kejadian crop circle yang dilaporkan di seluruh Eropah. Salah satu paling menarik perhatian ialah bentuk obor-obor sepanjang 182.88 meter yang merentangi ladang barli di Oxfordshire. Ia adalah antara yang terbesar dan reka bentuk crop circle paling luar biasa sehingga kini.

Selepas usaha menghasilkan crop circle tiruan gagal, mungkin ada benarnya pendirian sebahagian orang yang berasa ia mesej dari galaksi lain, amaran supaya melindungi planet ini atau mungkinkah ia sekadar peringatan daripada penduduk lain di bumi? Apa pun hujahnya, satu perkara yang pasti ialah misteri crop circle akan terus menghantui penghuni bumi untuk jangka waktu yang belum tentu ada kesudahannya.

-sumber-berita harian

1 Ulasan

  1. yang ini jugak aneh..tetapi pasti ade sebab ia terjadi...hehehe misteri...

    BalasPadam