HAMPIR sepertiga pegawai perubatan menyatakan mereka memberi ubat-ubatan atau menamatkan rawatan kepada para pesakit yang tiada harapan sembuh dengan niat mahu memendekkan hayat pesakit.

Satu laporan kelmarin mendedahkan, sebanyak 3,733 pengamal perubatan yang menyertai satu kajian menyatakan mereka perlu membuat keputusan untuk memberi ubat bagi mengurangkan kesakitan yang boleh mempercepat kematian atau terus memberi bantuan hayat.

Sebanyak 211 kes atau 7.4 peratus doktor berkata, mereka memberi ubat-ubatan atau menghentikan rawatan untuk mempercepatkan kematian.

Laporan Jurnal Sains Sosial dan Perubatan menjelaskan, sebanyak 825 kes atau 28.9 peratus doktor membuat keputusan rawatan secara sedar yang boleh menyebabkan pesakit mati.

Pakar penyelidik perubatan Universiti London, Prof. Clive Seale berkata, tiada bukti menyatakan pesakit peringkat akhir atau warga tua dipaksa mati.

Seramai 1,577 atau 55.2 peratus doktor memberi ubat tahan sakit, menggantung atau menamatkan rawatan tetapi Seale berkata, langkah itu tidak memendekkan nyawa.

Kata para doktor, mereka membuat keputusan untuk memendekkan nyawa pesakit terutama terhadap individu yang dirawat di unit rawatan rapi. - Agensi

-sumber-kosmo