PEMBINAAN kapal penumpang, Oasis of the Seas memakan masa enam tahun dan menelan belanja AS$1.341 bilion (RM4.6 bilion).

Kini, kapal terbesar dan paling mahal pernah dibina di dunia itu akhirnya akan dilancar ke laut dan pelayaran pertamanya dijadual bermula Disember ini.

Kapal itu diserahkan syarikat pembinaan kapal Finland, STX yang berpangkalan di pelabuhan Turku, 161 kilometer ke barat laut Helsinki kepada syarikat perkapalan Royal Caribbean Rabu lalu.

Dengan ketinggian 73 meter atau 16 tingkat, panjang 360 meter dan lebar 47 meter, Oasis of the Seas mampu mengangkut 6,360 penumpang dan 2,160 krew.

Tetamu yang berada di atas kapal ini dijangka menikmati hiburan berbeza, termasuk Panggung Aqua, yang menjadi kolam renang pada siang dan panggung dikelilingi lautan dan dinding memanjat pada waktu malam.

Kapal ini turut dibahagikan kepada beberapa zon khas, Taman Utama, Boardwalk, Royal Promenade, kolam dan sukan, Pusat kecergasan dan spa, hiburan dan remaja.

Semuanya memiliki keistimewaan selain kelainan, termasuk taman tema air pertama di laut dan 28 kamar mewah berdindingkan kaca dari lantai ke siling.

Ketua Eksekutif Royal Caribbean, Richard Fain berkata, tempahan untuk pelayaran pertama menggalakkan meskipun dunia berdepan krisis kewangan.

“Misi kami menarik pelanggan baru yang tidak pernah belayar sebelum ini,” katanya.

Namun, masih ada halangan yang perlu diatasi sebelum pelayaran pertama Disember ini.

“Antara perkara utama adalah untuk membuang mitos daripada fikiran masyarakat mengenai pelayaran. Selain itu, sukar buat kami menerapkan erti pelayaran kepada tetamu kerana terlalu banyak perkara yang mereka boleh lakukan di atas kapal ini,” kata Fain lagi.

Oasis of the Seas yang akan berlayar di perairan Caribbean lebih menumpukan terhadap pasaran remaja, pelanggan yang aktif dan kanak-kanak dan menawarkan tarikan 21 kolam renang, taman aqua dan makmal sains.

Meskipun kakitangan STX kini sibuk membina sebuah lagi kapal Royal Caribbean, Allure of the Seas yang dijangka siap pertengahan tahun depan, Fain mengaku, krisis kewangan global menyebabkan majoriti syarikat kapal perlayaran enggan memesan kapal baru.

Kapal itu berlepas dari Finland kelmarin dan akan dijangka tiba di Fort Lauderdale, Amerika Syarikat dalam tempoh dua minggu.

Oasis of the Seas akan memulakan perlayaran empat malam pertamanya dari Fort Lauderdale ke Labadee, Haiti pada 1 Disember.

-sumber-metro