MOJAVE - Bilionair Britain dan pengasas syarikat Virgin Galactic, Richard Branson kelmarin memperkenalkan kapal angkasa SpaceShipTwo selepas dua tahun ia dibina secara rahsia di Gurun Mojave, California.

Kapal angkasa itu berbentuk tirus seperti peluru dan memiliki panjang 18 meter iaitu menyamai saiz sebuah jet perniagaan besar.

Ia boleh membawa lapan penumpang serta dua juruterbang dalam penerbangan ke angkasa lepas.

Branson berharap SpaceShipTwo dapat membawa penumpang ke angkasa lepas dari pangkalan di New Mexico seawal 2011.

Menurut Virgin Galactic, harga setiap tiket untuk penerbangan menghampiri orbit bumi itu ialah $200,000 (RM678,599)

Dengan bayaran tersebut, para penumpang akan dibawa menaiki penerbangan selama dua setengah jam termasuk merasai situasi graviti sifar selama lima minit. - AP

-sumber-kosmo