Silver Arrow taruhan Mercedes GP Petronas
STUTTGART, Jerman – Pasukan Formula Satu (F1) Mercedes GP Petronas yang dikenali sebagai ‘Silver Arrows’ semalam melancarkan jentera baru yang akan dijadikan sandaran mengharungi musim perlumbaan 2010.
Kereta lumba yang berwarna hijau dan perak itu menggambarkan hubungan budaya ‘Silver Arrows’ dan penaja utamanya Petronas didedahkan kepada para tetamu dan media diikuti kemunculan juara tujuh kali, Michael Schumacher dan Nico Rosberg.
Ia merupakan gandingan pemandu Jerman untuk julung kali bagi pasukan tersebut pada upacara yang ringkas di Muzium Mercedes-Benz di hadapan 600 tetamu, termasuk 200 media serta 200 pekerja Mercedes-Benz di sini, semalam.
Ketua Pasukan Mercedes GP Petronas, Ross Brawn berkata, pasukannya telah bekerja keras sepanjang tahun lalu bagi membangunkan jentera MGP W01 dan setiap orang dalam pasukan bersedia untuk menghadapi ujian pertama di Valencia, Sepanyol pada minggu depan.
‘‘Kita mempunyai dua pemandu hebat, Nico dan Michael yang akan mewujudkan gandingan terbaik dan menarik di grid dan dengan sokongan Mercedes-Benz, Aabar iaitu rakan kongsi baru kami serta Petronas dan semua penaja, semua orang akan membuat jangkaan yang baik pada musim 2010,’’ katanya pada majlis pelancaran tersebut.
Legasi ‘Silver Arrows’ bermula pada 1934 apabila kereta lumba Mercedes W25 yang berwarna putih dikikis bagi mengurangkan beratnya dalam usaha menepati peraturan berat, iaitu 750 kilogram, sehingga menyebabkan warna perak kelihatan pada permukaan aluminium kereta itu.
Ditanya cabaran dihadapi ketika mereka bentuk jentera baru itu, Brawn berkata, ia lebih mencabar berbanding tahun lalu yang membabitkan aspek-aspek saiz tayar, perubahan dalam pembinaan kereta, pengisian minyak dan aerodinamik.
Menurut beliau, kerja-kerja mereka jentera baru itu bermula pada musim bunga tahun lalu dengan saiz pasukannya bertambah semasa proses mereka itu dijalankan.
Sementara itu, Schumacher berkata, beliau komited sepenuhnya terhadap cabaran baru ini sambil menambah beliau sangat bermotivasi untuk menghadapi musim baru dan tidak sabar untuk menunggu ujian pertama di Valencia.
‘‘Saya yakin Mercedes GP Petronas akan berada pada kedudukan yang baik pada musim ini dan sudah semestinya saya akan memberi yang terbaik,’’ ujarnya.
Menurutnya, memandu untuk Mercedes-Benz semula adalah seperti ‘sirih pulang ke gagang’ kerana beliau memulakan karier sebagai pemandu kereta lumba dengan pasukan itu.
‘‘Pada musim ini saya berasa sebagai satu permulaan baru buat saya dan saya sangat bermotivasi,’’ jelas pemandu yang berusia 41 tahun itu.
Sementara itu, Rosberg berkata, sejak menyertai pasukan itu pada November lalu, beliau telah menghabiskan banyak masa di kilang pasukan tersebut di Bracley dan Stuttgart yang telah memberi peluang kepadanya untuk mengenali ahli pasukan itu.
‘‘Saya telah melihat bagaimana mereka bekerja keras terhadap kereta baru dan saya tidak sabar untuk menunggu peluang memandunya,’’ ujar Rosberg.
Rosberg akan memandu jentera baru itu di Valencia pada hari pertama dan kedua diikuti oleh Schumacher pada hari ketiga. – Utusan
sumber-utusan
1 Ulasan
wah...menarik nie..erm yang team 1 m'sia , agak2 boleh menang?? teett
BalasPadam