Google Buzz dilancar

MOUNTAIN VIEW, California 10 Feb. - Google Inc (Google) semalam memperkenalkan rangkaian laman sosial dalam talian yang dikenali Google Buzz bagi menarik pengguna akaun Gmail yang ramai dan pelayar web seluruh dunia.

Google Buzz dilancarkan bagi menyaingi laman sosial dalam talian popular sedia ada iaitu Facebook, Twitter dan Myspace.

Dikatakan hampir sama dari segi operasinya dengan tiga laman sosial sedia ada itu, Google Buzz membantu pengguna berkongsi pesanan, berhubung web dan gambar bersama kenalan dengan segera terus melalui akaun Gmail.

Pengguna juga boleh memilih sama ada mahu mendedahkan maklumat kepada semua pengguna lain atau antara rakan tertentu dalam laman sosial itu.

Kemampuan tambahannya, ia boleh dihubungkan dengan peranti tertentu seperti iPhone.

Dengan memperkenalkan Google Buzz melalui akaun Gmail, Google berharap ia adalah titik tolak kepada syarikat gergasi itu kukuh dalam rangkaian sosial.

Pengurus Produk Google, Todd Jackson berkata, ketika ini, Gmail yang diperkenalkan syarikat itu adalah laman e-mel ketiga paling popular di dunia.

"Kami mempunyai paling ramai pelawat atau pengguna selepas Microsoft Corp. Windows Live Hotmail dan Yahoo Inc. Mail.

"Jumlah pelawat atau pengguna kami seramai 176.5 juta orang pada Disember lalu," katanya.

Pada masa ini, Buzz tidak boleh menyiarkan mesej yang datang dari Facebook yang kini merupakan rangkaian sosial nombor satu dunia dengan 400 juta pengguna aktif. - Reuters

sumber-utusan