NEW YORK 23 Feb. - Senaskhah komik Superman cetakan pertama yang sukar ditemui, berjaya dijual pada harga AS$1 juta (RM3.4 juta) semalam, mengatasi rekod jualan bagi sebuah lagi komik sebelum ini.

Komik edisi 1938, Action Comics No.1 yang dianggap komik yang jadi rebutan ramai, dijual oleh seorang jurujual swasta, yang dirahsiakan namanya.

Komik itu memaparkan aksi Superman sedang mengangkat sebuah kereta dengan harga asalnya dijual hanya 10 sen.

Transaksi itu dikendalikan oleh laman web lelong ComicConnect.com. Stephen Fishler, pemilik bersama laman web itu dan rakan pengedarnya, Metropolis Collectibles, yang mengatur jualannya.

Fishler berkata, buku itu dijual beberapa minit selepas ia dibuka untuk lelongan pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

Katanya, penjualnya adalah seorang 'individu yang terkenal' di New York dan mempunyai banyak koleksi komik dan pembelinya pula adalah seorang pelanggan yang dikenali pernah membeli naskhah Action Comics No. 1 pada gred yang lebih rendah.

"Kebanyakan orang menanggap komik ini sangat penting," kata John Dolmayan, seorang peminat komik dan pengedar yang turut dikenali sebagai pemain deram untuk kumpulan rock System of a Down.

Harga untuk cetakan yang dijual semalam mencecah harga yang tinggi kerana naskhah itu masih dalam keadaan baik. Ia diletakkan pada gred 8.0 dan bagi naskah yang sangat baik mampu meningkat kepada gred 10. - AP

sumber-utusan