Pertengkaran timbulkan cemuhan, permusuhan

BERTENGKAR, hingga merah muka, asalnya mencari mana yang salah dan mana yang benar. Akhirnya berganti menjadi merendahkan orang lain dan tidak menghargai pendapatnya.

Perkataan sudah keluar, kemarahan timbul, kebenaran hilang. Persahabatan berganti jadi permusuhan. Renggang hati kedua belah pihak.

Bagi yang mencemuh, tidak ada pendapat berharga, tidak ada buah fikiran yang benar. Kerjanya hanya mencari mana yang salah, di mana cacat dan celanya. Budi begini sangat rendah, tidak boleh dibawa ke tengah. Pekerjaan mencela mudah. Tidak ada yang semudah mencela di dunia ini.

Penyakit bertengkar dan mencemuh ini menular. Mulanya dua tiga orang, setelah itu satu pergaulan. Lama-lama menjadi penyakit masyarakat umum. Sehingga boleh disebut penduduk negeri itu suka bertengkar. Orang di kampung itu suka mencemuh. Akhirnya nama negeri itu diberi 'Negeri PC' (negeri perkumpulan cemuh).

Buat golongan ini, anak kecil dengan orang dewasa sama saja. Kawan pergaulan dan yang sebaya umur tidak ada perbezaan. Mukanya keruh, perbuatannya busuk. Sesuatu pekerjaan yang patut diurus dengan sempurna, mereka tidak boleh kerjakan.

Kalangan mereka ini, mudah sekali hina menghina, jatuh menjatuhkan, dengki mendengki dan dekat sekali kepada pertumpahan darah. Semuanya menghilangkan kasih sayang, memutuskan persahabatan, menghilangkan kepercayaan dan menghilangkan rasa malu.

Sumber: Buku Tasauf Moden - Prof Dr Hamka

sumber-berita harian

0 Ulasan