Sihir berantai Afrika

Salakan anjing, bunyi gendang iringi kematian mengerikan anak kapal, keluarga aniaya hamba abdi

PADA abad ke-18, bandar raya Liverpool menjadi mewah menerusi apa yang digelar 'kapal keaiban' yang mengangkut berjuta-juta abdi kulit hitam Afrika ke Amerika Syarikat dan Hindia Barat. Koloni Dunia Baru yang pantas membangun itu memerlukan banyak tenaga kerja dan ahli perniagaan England berasakan lelaki, wanita dan kanak-kanak kulit hitam Afrika boleh memenuhi permintaan pekerja.

Kira-kira 10 juta abdi Afrika dibawa menyeberangi Lautan Atlantik dalam keadaan sukar dengan setiap seorang dikurung dalam ruang lebih kecil daripada keranda. Kaki mereka dirantai antara satu sama lain dan perlu berkubang dengan kekotoran setiap masa selama berbulan-bulan. Tidak hairanlah jika kadar kematian tinggi adalah perkara biasa dalam kapal yang mengangkut abdi.

Hamba abdi yang sakit dan nazak dianggap satu kerugian kepada orang tengah dan ramai penduduk Afrika yang disyaki sakit dibuang ke laut untuk menjadi makanan jerung. Namun sudah menjadi hukum alam, kezaliman tidak selamanya bermaharajalela dan satu-satu persatu kisah aneh yang berkaitan dengan kekejaman tersingkap. Ia bermula pada tahun 1783, apabila sebuah kapal abdi dinamakan Amelia mengangkut manusia dari pelabuhan Old Calabar di Nigeria.

Di antara lelaki, wanita dan kanak-kanak yang diculik dan diambil secara paksa dari negara mereka, ada seorang budak lelaki berusia 13 tahun bernama Abu dan bapa saudaranya, Obah - lelaki buta yang boleh berbahasa Inggeris. Dalam pelayaran itu, Abu diserang sawan dan Obah merayu simpati krew kapal memberikan sedikit air kepada anak saudaranya itu. Sayangnya, permintaan Obah tidak dipedulikan yang memaksa dia dan beberapa abdi lain, bertindak menggoncangkan rantai ikatan mereka sebagai membantah.

Kapten Mallard, yang mengemudi Amelia, marah dengan keadaan itu dan akibatnya hamba abdi yang menunjuk perasaan disebat. Abu tidak terkecuali dan pitam. Obah terus merayu Abu diberi air dan memberi penjelasan anak saudaranya itu kerap diserang sawan yang memberikan dia kelebihan melihat apa yang akan terjadi pada masa depan.

Abu ialah satu-satunya anak lelaki kepada ahli sihir puaknya dan jika budak itu tidak dibawa balik ke Nigeria, sumpahan ngeri akan berlaku kepada pengemudi Amelia. Apabila Kapten Mallard mendengar penjelasan itu, dia menggenggam buku lali Abu dan mula menghayunkan kanak-kanak malang itu. Abu menjerit dan Obah cuba menyerang Mallard. Tiba-tiba Mallard mengheret Abu ke hujung kapal dan melemparkan budak itu ke dalam laut. Obah menangis dan dibawa ke bawah serta dirantai sekali lagi. Ketika rantai dipasang, lelaki berkenaan menuding jari ke arah Mallard dan berkata: "Aku sumpah kau! Aku sumpah kau dan keluarga kau!"

Tidak lama selepas kepulangan Mallard ke Liverpool, nasib malang dan kejadian pelik mula menghantuinya dan keluarganya. Anak sulungnya, Matthew, yang mempunyai kediaman berhampiran pantai di Formby, menjadi gila selepas memberitahu isterinya bahawa seekor anjing hitam dengan mata merah menyala merenungnya ketika bersiar di pantai. Matthew dimasukkan ke pusat tahanan mental tidak lama selepas itu.

Beberapa minggu kemudian, Mallard terbangun pada tengah malam apabila mendengar pukulan gendang pelik dari kejauhan. Jirannya turut mendengar bunyi aneh itu tetapi tiada siapa tahu dari mana sumbernya. Tiga malam kemudian, irama membingitkan itu berhenti tiba-tiba tepat jam 4.15 pagi dan Mallard kemudian mengetahui ibunya yang menetap di Frederick Street meninggal dunia pada waktu sama.

Sebulan kemudian, pukulan gendang sama mengganggu tidur Mallard sekali lagi. Kali ini dia bangun dan mendapati isterinya terbaring berlumuran darah di sebelahnya. Wanita itu mengalami keguguran dan hampir meragut nyawa.

Terganggu dengan kejadian itu, Mallard memutuskan untuk kembali belayar bagi melenyapkan nasib malangnya itu. Dia menjadi kapten h kapal, Moonrise, yang belayar ke Littleton, New Zealand. Mallard bakal membawa balik bekalan kapas dan daging kambing beku dari New Zealand apabila secara tiba-tiba kapalnya hilang tanpa dikesan.

Kira-kira 26 tahun kemudian, sebuah kapal Britain, Horizon, mengesan sebuah kapal besar di persisiran pantai Chile dan sebaik menghampiri kapal itu, krew melihat perkataan Moonrise. Banyak tengkorak di atasnya dan anak kapal itu dipercayai meninggal dunia kerana sakit puluhan tahun lalu.

Apabila berita penemuan mengejutkan kapal yang sudah lama hilang itu tiba ke pengetahuan isteri Mallard, yang ketika itu dalam lingkungan usia 60-an, dia pengsan kerana terkejut. Dia memberitahu doktor yang merawatnya bahawa suaminya disumpah sehingga mati kerana membunuh anak lelaki seorang ahli sihir. Pada saat kematian wanita itu pada jam 3.00 pagi, tujuh orang yang berada di sisinya mendengar salakan anjing. Kisah aneh itu dilaporkan dalam akhbar tempatan.


sumber-berita harian

1 Ulasan

  1. the history of slavery in liverpool? nice.. i went into the museum before.. =)

    kenwooi.com

    BalasPadam