RASULULLAH SAW bersabda dalam khutbahnya: "Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku memerintahkan supaya aku mengajar kamu akan apa yang tidak kamu mengetahuinya daripada perkara diajarkannya kepadaku pada hari ini, iaitu (Tuhanku berfirman): Segala harta benda yang Aku berikan seseorang mendapatnya dengan mana-mana jalan yang Aku benarkan adalah halal; dan sesungguhnya Aku jadikan hamba-Ku semuanya suci bersih (daripada fahaman dan amalan syirik) serta betul benar menurut keadaan semula jadinya; dan sesungguhnya mereka didatangi dan diperdayakan oleh syaitan sehingga sebahagian besar antara mereka menyeleweng dan terpesong daripada ajaran agamanya yang sebenar." ('Iyadh bin Himar Al-Mujasyi'I)

Syaitan adalah musuh utama manusia sejak Nabi Adam lagi. Tabiatnya suka menghasut, membuat fitnah, memecah-belahkan manusia dengan mengajak melakukan segala bentuk kemungkaran.

Syaitan akan mengambil peluang menghasut apabila saja seseorang manusia itu lalai iaitu tidak mengendahkan ajaran dan peringatan Allah. Sesiapa menurut jejak langkah syaitan pasti akan menemui jalan kebinasaan dan penyesalan sama ada di dunia mahupun akhirat.

sumber-berita harian