LONDON 1 Mac – Sebuah tempat perlindungan daripada serangan nuklear era Perang Dingin di Britain telah dijual dalam satu jualan lelong menerusi laman web eBay di Internet dan para pembida semalam, meletakkan harga sehingga melebihi 27,000 pounds Sterling (RM138,819).

“Ia merupakan satu peluang luar biasa untuk mendapatkan sebuah sejarah Perang Dingin,” menurut iklan jualan lelong dalam laman web tersebut.

“Ia ditempatkan di sebuah lokasi strategik dengan pemandangan yang indah. Tempat perlindungan nuklear milik anda sendiri dan kebanyakan peralatannya adalah asli,” katanya.

Selepas diiklankan pada harga permulaan sebanyak 500 pounds Sterling (RM2,571) pada Khamis lalu, perang bida yang menyaksikan harga bagi tempat perlindungan bawah tanah itu meningkat lebih daripada 50 kali dalam tempoh kurang tiga hari.

Semalam, harga bidaan mencecah 27,424 pounds Sterling (RM141,028) selepas 67 bidaan.

Tempat perlindungan itu pernah ‘berkhidmat’ pada tahun 1959 dan digunakan oleh Royal Observer Corps, sebuah organisasi pertahanan penduduk awam yang ditubuhkan khas untuk sukarelawan yang bertugas memberi laporan serangan nuklear.

Tempat perlindungan itu yang terletak di Peak District National Park di tengah England, digunakan sepenuhnya sehingga tahun 1991 dan ia tidak lagi berfungsi selepas zaman kejatuhan Kesatuan Soviet.

Dianggarkan berukuran 15 meter, tempat perlindungan itu terletak di puncak sebuah ladang, di kawasan tinggi dengan panorama yang indah.

Tempat penyimpanan itu yang boleh dimasuki menerusi sebuah lubang besi terletak 4.572 meter di bawah tanah dan mempunyai dua buah bilik iaitu sebuah tandas kimia dan bilik tinjauan serta dua lubang pengalihan udara.

Sama seperti perabot, pembeli juga akan menerima kotak siren, baldi enamel, tong minyak dan tali untuk menarik barangan berat naik ke lubang tersebut, menurut iklan itu.– AFP

sumber-utusan