Sejarah Awal Kedah
Perkembangan sejarah awal Negeri Kedah dan lain-lain negeri di Semenanjung Malaysia adalah disebabkan oleh kedudukan ilmu alamnya yang begitu strategik di rantau ini. Dipandang dari sudut prasejarah, sekurang-kurangnya Semenanjung Malaysia disifatkan sebagai jambatan atau landasan yang dilalui oleh manusia di dalam proses migrasi dari utara ke selatan dan seterusnya ke kepulauan Asia Tenggara dan Pasifik.
Kemudian tatkala perdagangan maritim berkembang dengan pesatnya, Semenanjung ini telah memainkan peranan yang penting sekali kerana kedudukannya di pertengahan antara dua pusat perdagangan yang besar di masa itu iaitu India dan negara-negara Arab di sebelah barat dan Negeri China di sebelah timur. Di kala pelayaran laut hanya bergantung kepada tiupan angin monsun, dan sementara menunggu pertukaran haluan tiupan angin tersebut, Semenanjung Malaysia telah dijadikan bukan sahaja tempat berteduh tetapi juga sebagai tempat untuk membuat pertukaran dagangan mereka.
Dilihat dari sudut yang tersebut di atas, kita dapati Negeri Kedah mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri yang secara tidak langsung telah menghasilkan keunikan perkembangan sejarah yang dilaluinya. Gua-gua batu kapur yang merupakan tempat tinggal atau tempat persinggahan masyarakat zaman prasejarah banyak terdapat di daerah-daerah Kubang Pasu, Kota Star dan Baling. Apa yang lebih menarik ialah terdapatnya sebuah gunung yang tersergam indah di persisiran pantai yang dipercayai telah menjadi landmark kepada pelayar-pelayar yang melalui Lautan Hindi di zaman yang silam. Di samping itu, Negeri Kedah juga boleh dihubungi melalui jalan darat dengan negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia tanpa menghadapi kesulitan (Wheatley 1961 : xxvi ; Braddle 1980 ).
Keseluruhan faktor-faktor yang tersebut di atas dengan sendirinya menunjukkan keagungan sejarah yang telah dilalui oleh Kedah khasnya dan Semenanjung Malaysia amnya.
sumber-wikipedia
1 Ulasan
dulu sejarah selalu dapat markah teruk..huhu...Apapun sebenarnya sejarah ni penting untuk pembangunan jati diri..huhu, macam lecturer pla..:)
BalasPadam