MANAMA - Pemandu sensasi Red Bull, Sebastian Vettel sama sekali tidak rasa terganggu dengan kehadiran juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher.

Musim lepas, Vettel muncul pemandu Jerman terbaik apabila menduduki tempat kedua keseluruhan dengan ketinggalan 11 mata di belakang juara dunia, Jenson Button.

Begitupun, tumpuan peminat-peminat Formula Satu (F1) di Jerman pasti kembali beralih arah kepada Schumacher selepas bekas pemandu Ferrari itu memutuskan untuk beraksi bersama pasukan Mercedes GP.

Bagaimanapun, Vettel berkata, penampilan semula Schumacher tidak akan menjejaskan tumpuannya untuk memberikan aksi terbaik musim ini.

"Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Schumacher dan seronok dapat melihat dia kembali beraksi," kata Vettel.

"Namun saya lebih suka memberi tumpuan terhadap apa yang boleh saya lakukan musim ini.

"Saya rasa, musim lepas kami berjaya membuat kejutan tetapi kami harus membuktikan bahawa kami memang layak untuk berada di tempat teratas."

Schumacher

Vettel turut percaya, pasukannya memiliki potensi untuk mencatat keputusan terbaik musim ini selepas memenangi tiga perlumbaan terakhir musim lepas.

"Apa sahaja boleh berlaku dan kami tidak takut kepada sesiapa," kata Vettel.

"Memang sasaran saya musim ini adalah untuk menjadi juara dunia. Saya banyak belajar musim lepas dan kini, saya sudah benar-benar bersedia." - AFP

sumber-kosmo