SAN FRANCISCO 20 April - Laman web rangkaian sosial, Facebook semalam mula memperkenalkan 'halaman komuniti' (community pages) yang mengumpulkan pengguna berdasarkan kegemaran mereka, sekali gus mewujudkan potensi sasaran kepada pengiklan.

Facebook kini mereka laman web berkaitan topik seperti muzik, masakan atau yoga berdasarkan minat pengguna rangkaian sosial nombor satu dunia ini.

Pengguna yang meminati topik tertentu akan 'tergolong' dalam laman web berkaitan, dengan senarai maklumat umum mereka yang menyertainya, jelas jurutera perisian Facebook, Alex Li dalam laman blognya.

"Halaman komuniti adalah laman Facebook jenis baru yang menjurus kepada topik atau pengalaman kolektif komuniti yang berhubung dengannya.

"Sama seperti halaman rasmi perniagaan, persatuan dan tokoh terkenal, Halaman Komuniti membenarkan andar berhubung dengan mereka yang mempunyai minat dan pengalaman yang sama," katanya.

Halaman itu akan menjadi forum perkongsian pendapat, kepakaran atau wawasan topik berkaitan," demikian menurut Facebook.

Ia akan dimulakan dengan maklumat daripada laman web rujukan dalam talian, Wikipedia, namun Facebook merancang bagi menyenaraikan pengguna yang 'mempunyai minat mendalam' mengenai sesuatu topik untuk menyumbangkan maklumat.

"Profil tidak lagi statik kepada kesukaan dan minat. Kini ia adalah peta yang hidup dan penuh dengan hubungan yang penting kepada anda," ujar Li.

Pengumpulan pengguna kepada kumpulan berdasarkan minat mungkin memberi peluang kepada Facebook menjana keuntungan melalui pengiklanan. - AFP

sumber-utusan