Kompleks hotel mega dibina di Mekah

DUBAI 14 April - Sebuah kompleks hotel gergasi yang sedang dalam pembinaan di Mekah bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia dan di atasnya akan dibina sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London.

Pengurus besar hotel berkenaan, Mohammed al-Arkubi pada sidang media di sini semalam berkata, kompleks tujuh menara hotel yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt itu akan mengandungi 3,000 buah bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidilharam.

Ketinggian kedua-dua menara itu hanya kurang kira-kira 11 meter daripada ketinggian menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang mencecah 828 meter.

Menara Jam Diraja Mekah akan dibina daripada struktur konkrit setinggi 662 meter dan puncak menara logam setinggi 155 meter yang dilitupi dengan simbol bulan sabit.

Malah struktur konkrit Menara Jam Diraja Mekah itu adalah lebih tinggi daripada bangunan kedua tertinggi di dunia pada masa kini iaitu Taipei 101 di Taiwan, yang setinggi 508 meter.

"Fasa pertama hotel akan dibuka pada akhir Jun ini, manakala jam itu akan mula beroperasi pada akhir Julai, iaitu menjelang bulan Ramadan yang dijangka bermula sekitar 10 Ogos," kata Arkubi.

Jam buatan Jerman itu, digambarkan sebagai 'yang terbesar di dunia', mempunyai muka selebar 45 meter dan setinggi 43 meter di keempat-empat sisi menara, katanya.

Jam tersebut dijangka boleh kelihatan sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang.

Kompleks itu dibina oleh syarikat hartanah gergasi, Bin Laden Group, bagi pihak kerajaan Saudi. - AFP

sumber-utusan

0 Ulasan