TEKNOLOGI skrin sesentuh boleh dianggap antara satu revolusi terbesar yang pernah berlaku dalam kehidupan moden manusia. Ini kerana dengan adanya teknologi ini manusia dilihat semakin cenderung untuk melibatkan diri dalam sebarang kegiatan membabitkan teknologi berbanding sebelumnya.
Kita lihat sahaja penggunaan telefon bimbit. Jika sebelum ini sudah memadai jika mempunyai telefon bimbit yang mempunyai papan pemuka biasa bagi mendail nombor atau menghantar mesej, namun dengan adanya teknologi skrin sesentuh masyarakat semakin galak untuk mempunyai telefon bimbit yang mempunyai kemudahan tersebut.
Dengan ini ia sedikit sebanyak mendorong manusia untuk lebih melibatkan diri dalam penggunaan teknologi moden. Sebagai contoh sebelum ini golongan yang agak berumur lebih mudah menggunakan telefon biasa hanya sekadar untuk berkomunikasi.
Namun sekarang adalah pemandangan biasa untuk kita melihat mereka lebih obses dengan telefon bimbit yang menyediakan teknologi skrin sesentuh. Pastinya dengan perubahan ini mereka dengan sendirinya akan turut mengikut perubahan zaman yang semakin mendambakan penggunaan laman sosial seperti facebook dan Twitter dalam komunikasi seharian.
Maka kecanggihan teknologi telah menggalakkan penglibatan pengguna untuk beralih arah kepada skrin sesentuh berbanding sebelumnya. Namun bagi para pengkaji teknologi teknologi skrin sesentuh hanyalah permulaan kepada kecanggihan yang lebih menarik untuk masa akan datang.
Hologram
Mereka kini sudah pun berusaha membangunkan teknologi jam tangan yang akan melayarkan hologram yang akan berfungsi dengan hanya menyentuh pada skrin yang dipancarkan.
Teknologi ini yang diberi nama HOLO 2.0 merupakan satu konsep rekaan terbaru yang mampu menggantikan fungsi komputer bimbit sekarang. HOLO 2.0 menggunakan tenaga bateri kinetik dan sumbernya terhasil dari pergerakan kinetik dari tangan kita. Jam tangan ini mampu untuk memaparkan paparan hologram yang berfungsi sebagai sebuah komputer bimbit.
Namun pada masa yang sama ia juga boleh diubah suai sebagai pengganti komputer meja. Ini kerana alat ini akan turut disertakan dengan peralatan yang berupaya membesarkan paparan hologram sama seperti yang biasa didapati melalui komputer meja. Paparannya dikatakan boleh memanjang sehingga 140 mm dan lebar 20 mm.
Mereka yang terlibat dalam mereka bentuk HOLO 2.0 adalah Elodie Delassus, Pradeep Kamath, Rucha Shinde, Taha Poonawala dan Asher Kandelar dan ia dibangun oleh sebuah syarikat dari India. Pihak berkenaan bercadang untuk mula memasuki pasaran dunia pada 2015.
Pastinya ketika itu teknologi skrin sesentuh sudah mampu dimiliki oleh semua dan agak ketinggalan. Maka sebagai sebahagian dari penggantian teknologi, projek HOLO 2.0 ini dilihat mampu mengisi kekosongan yang ada.
Secara umumnya HOLO 2.0 ini berfungsi dengan hanya dililitkan di pergelangan tangan dan dengan hanya beberapa sentuhan di permukaannya maka hologram akan terpancar. Melalui hologram ini ia akan memainkan peranan seperti sebuah komputer yang mana kebanyakan fungsinya akan dilakukan dengan hanya menyentuh skrin yang dipaparkan.
Pastinya teknologi ini adalah sesuatu yang mampu menarik perhatian semua kerana ia menyediakan alternatif terbaru kepada pengguna sebagai komputer mudah alih pada masa depan. Teknologi yang dibangunkan ini nampak semakin mudah dibawa kemana sahaja malah turut boleh digayakan seperti fesyen terkini untuk mereka yang gemar bergaya.
Sehingga kini amat sedikit maklumat yang diperoleh dan masih belum terdapat spesifikasi yang jelas tentang teknologi yang bakal diterapkan. Seperti yang kita sedia maklum masih belum jelas terdapat sebarang peralatan yang mampu mengeluarkan teknik hologram. Yang terdapat kini hanyalah teknik paparan imej yang dikeluarkan melalui projektor.
Teknologi sebegini yang telah mula dipaparkan sejak filem Star Wars masih belum dapat dibangunkan secara jelas. Mungkin ia sudah dibangunkan untuk kegunaan ketenteraan namun sama ada ia mampu dipasarkan atas tujuan membuat keuntungan, itu masih lagi menjadi satu persoalan besar.
Namun apa yang pasti teknologi akan sentiasa berubah sebagai alat untuk memacu pembaharuan yang diperlukan manusia dalam memudahkan kehidupan.
Adalah tidak mustahil teknologi hologram ini mampu menjadi seperti mana yang dilalui oleh skrin sesentuh sekarang. Dan ketika itu teknologi sepertinya adalah satu lagi keperluan bagi manusia yang sentiasa dahagakan perubahan.
sumber-utusan
1 Ulasan
apek suka hehe
BalasPadam