Misteri Manusia Cicak

Kewujudannya sehingga kini belum dapat disahkan

SUATU ketika, Carolina Selatan pernah digemparkan dengan kehadiran makhluk tidak diketahui, dikenali sebagai Manusia Cicak, yang dilihat oleh beberapa penduduk di kawasan Paya Scape Ore, di pinggir Bishopville di daerah Lee. Sejak itu timbul persoalan mungkinkah Lelaki Cicak berkenaan adalah haiwan prasejarah, yang berjaya mengelak daripada ditangkap dengan menghuni kawasan paya dan jika tidak, apakah sebenarnya makhluk itu?


Christopher Davis adalah antara segelintir penduduk yang dapat melihat makhluk berkenaan secara bersemuka ketika dia berusia 17 tahun. Davis sedang memandu di kawasan paya itu pada 29 Jun 1988, apabila tayar keretanya pancit. Jam menunjukkan 2 pagi dan ketika menukar tayar, dia mengesan sesuatu berlari ke arahnya.

Makhluk itu mempunyai ketinggian kira-kira dua meter, dengan mata merah dan berkulit hijau. Ia mempunyai tiga jari pada setiap kaki dan tangan, dan setiap satu jari dilengkapi dengan kuku hitam sepanjang 10 sentimeter. Makhluk itu berlari mendekatinya dengan keadaan marah. “Saya melihat ke belakang dan melihat sesuatu berlaku ke arah saya. Pada jarak kira-kira 22 meter saya dapat melihat mata merah. Saya lari ke dalam kereta dan ketika baru hendak menguncinya, makhluk itu dapat mencapai pemegang pintu. Saya dapat melihat makhluk itu dari leher ke bawah - tiga jari besar, kuku hitam panjang dan kulit kasar hijau.

“Ia kuat dan kelihatan marah. Saya dapat melihat kakinya dan kemudian ia melompat ke atas kereta. Saya mendengar dengusan dan kemudian melihat jarinya di cermin depan. Saya segera memecut dan berjaya menjatuhkan makhluk itu,” katanya.


Bagaimanapun, ia terus berlari pada kelajuan 64 kilometer sejam mengejar kereta yang dipandu Davis. Dia menggeletar setibanya di rumah. Keretanya mempunyai kesan cakaran panjang, bumbung rosak dan cermin sisi dipusing.


Davis bukan satu-satunya saksi kepada kewujudan Manusia Cicak itu. Tidak lama kemudian, laporan mula menimbun di pejabat pihak berkuasa mengenai perkara itu. Seorang pekerja kontrak memberitahu makhluk reptilia melompat di depannya ketika dia sedang mengambil air dari perigi. Dia kemudian lulus ujian mengesan pembohongan. Dua remaja dan teman wanita masing-masing memandu berhampiran paya, apabila melihat makhluk seperti cicak yang besar melintas jalan di depan kereta mereka.

Laporan itu dipandang serius oleh pejabat polis Daerah Lee. Timbalan ketua polis segera menyiasat kawasan sekitar Paya Scape Ore dan melaporkan penemuan anak pokok yang dibongkar dan tapak kaki besar. Ia mempunyai tiga jari dan berukuran 35 sentimeter x 17 sentimeter lebar dan 2.5 sentimeter dalam dengan lebar langkah 102 sentimeter. Makhluk itu juga dikatakan memiliki kekuatan sehingga mampu mengoyak bumbung kereta.

Kemudian, tapak kaki itu dianalisis oleh pakar biologi kehidupan liar dan dari situlah ceritanya semakin menarik. Sesetengah laporan menyatakan ia sekadar diada-adakan manakala yang lain menganggap ia bukan milik mana-mana makhluk yang diketahui.


Pada Oktober 2005, seorang wanita di Newberry, Carolina Selatan melaporkan dia melihat dua makhluk menyerupai Manusia Cicak di luar rumahnya. Pada Februari 2008, sepasang suami isteri melaporkan kerosakan aneh pada kenderaan mereka, kesan darah dan kehilangan beberapa kucing mereka.


Berdasarkan kerosakan, beberapa orang mendakwa ia petanda ‘kembalinya’ Manusia Cicak tetapi kesan darah yang dihantar ke makmal mendapati ia adalah darah anjing. Sehingga kini, kebenaran mengenai kewujudan makhluk itu
masih menjadi tanda tanya.

sumber-berita harian

1 Ulasan

  1. manusia cicak aka cicakman malaysia direman sebab dadah.eh? :|

    BalasPadam