Misteri Nombor telefon maut

Syarikat telekomunikasi Bulgaria batalkan pendaftaran 0888-888-888 selepas semua pemiliknya mati

APA kaitan nombor telefon dan ajal? Mungkin tidak bagi kita, tetapi inilah yang berlaku di Bulgaria apabila nombor telefon bimbit 0888-888-888 dilabelkan sebagai nombor maut sehingga memaksa sebuah syarikat telekomunikasi membatalkan pendaftarannya nombor berkenaan.

Kisah benar yang turut dimuatkan dalam laporan akhbar antarabangsa itu, mengaitkan tiga kematian individu yang juga pemilik nombor itu dalam masa 10 tahun. Pemilik pertama nombor itu, Vladimir Grashnov, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telefon bimbit Bulgaria yang mengeluarkan nombor berkenaan, Mobitel, meninggal dunia pada tahun 2001 akibat barah pada usia 48 tahun.

Ada khabar angin lain yang menyatakan barah dihidapi Grashnov adalah disebabkan keracunan radioaktif. Namun, kematian dua pemilik lain nombor berkenaan mencetuskan misteri yang agak menggerunkan.


Selepas kematian Grashnov, nombor itu digunakan pula ketua mafia Bulgaria, Konstantin Dimitrov. Ibarat satu sumpahan atau mungkin secara kebetulan, Dimitrov pula ditembak mati pada 2003 oleh penembak upahan di Amsterdam, Belanda. Kejadian berlaku ketika beliau dalam perjalanan memeriksa empayar penyeludupan dadah yang bernilai kira-kira £500 juta (RM2.3 bilion).


Dimitrov, yang baru berusia 31 tahun ketika itu, turut membawa bersama telefon bimbit berkenaan apabila ditembak ketika keluar makan dengan seorang model. Pembunuhan itu dikatakan didalangi bom mafia Russia yang cemburukan operasi penyeludupan dadah Dimitrov.

Tidak lama kemudian, nombor 0888-888-888 diberikan kepada ahli perniagaan yang juga samseng, Konstantin Dishliev. Malangnya, beliau juga ditembak mati di luar sebuah restoran India di Sofia, selepas menggunakan talian yang dianggap membawa malang itu.

Dishliev, seorang ejen hartanah, menjalankan operasi penyeludupan kokain besar-besaran secara rahsia sebelum pembunuhannya pada tahun 2005.


Beliau meninggal dunia selepas dadah bernilai £130 juta (RM624 juta) dipintas oleh polis dalam perjalanan ke Bulgaria dari Colombia.


Sejak itu, nombor berkenaan tidak diaktifkan ketika polis membiarkan fail mengenai pembunuhan Dishliev dan rangkaian penyeludupannya terus dibuka.

Bagaimanapun, ketua baru syarikat telekomunikasi berkenaan bertindak membatalkan nombor berkenaan selama-lamanya.

Jurucakap Mobitel pula sekadar berkata: “Kami tidak mempunyai sebarang komen. Kami tidak membincangkan nombor individu.”


Hakikatnya, keanehan atau misteri yang menyelubungi penggunaan telefon bimbit sebenarnya sudah berlaku sejak awal lagi apabila keluarga salah seorang mangsa nahas kereta api Metrolink kerap menerima panggilan daripada telefon bimbitnya.


Chuck Peck, adalah salah seorang daripada 25 mangsa yang maut dalam nahas pada 12 September 2008 itu. Sejak tragedi itu, keluarganya menerima panggilan yang dibuat daripada telefon bimbit Peck tetapi tiada suara yang kedengaran.


Sepanjang malam kejadian, anak lelaki, saudara lelaki, ibu tiri dan saudara perempuan serta tunang Peck menerima panggilan telefon selepas kemalangan itu dilaporkan. Anak lelaki Peck, CJ, percaya ayahnya masih hidup dan cuba menghubungi mereka.


Beliau terus menjerit: “Kami sayangkan ayah. Bertahan. Mereka akan selamatkan ayah.”


Panggilan terhenti pada jam 3.28 pagi dan tiada seorang pun anggota keluarga Peck menerima sebarang panggilan. Sejam kemudian, pasukan bomba Los Angeles menemui mayat Peck. Pegawai koroner berkata, beliau mati serta merta sejurus kemalangan.


Mungkinkah ia panggilan dari dunia lain? Atau sekadar teknologi yang mengalami masalah? Jawapan itu masih belum ditemui sehingga kini walaupun fenomena ‘panggilan daripada orang mati’ sudah menjadi satu cerita legenda.


sumber-berita harian

5 Ulasan

  1. fuh,,,,rasa macam dalam filem laa plak...
    tak sangka betul terjadi..
    kan dulu pernah ada filem seram Korea ke Jepun ntah "The Phone"

    BalasPadam
  2. pelik tapi benar agaknya...mungkin terjadi 1 dalam beribu..

    BalasPadam
  3. betol kata pch tu... semua org mati...
    maybe juz kebetulan je, lagipon mang sa semuanya mempunyai risiko kematian yg tinggi (cth:mafia)

    BalasPadam
  4. pendapat..maybe no tuh milik syaitan kot..sbb tu dia marah owg lain guna..pe2 pn semua dah takdir ALLAH http://ikhwankb.blogspot.com

    BalasPadam
  5. pendapat..maybe no tuh milik syaitan kot..sbb tu dia marah owg lain guna..pe2 pn semua dah takdir ALLAH http://ikhwankb.blogspot.com

    BalasPadam