Robot jadi pekerja hospital
GLASGOW, Scotland - Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain buat kali pertama mula menggunakan robot berteknologi canggih untuk melaksanakan pelbagai tugas di hospital awam di negara itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa buah robot itu kini sedang menjalani ujian penyesuaian di Hospital Diraja Forth Valley di Larbert, Stirlingshire yang bernilai £300 juta (RM1.45 bilion) dan bakal dibuka secara rasmi mulai Ogos depan.

Robot-robot itu akan digunakan untuk mengangkut sisa buangan klinikal dan pakaian kotor, menghantar makanan serta pengagihan ubat dengan bergerak melalui rangkaian terowong yang dibina khusus di bawah tanah hospital tersebut.

Beberapa petugas manusia hanya perlu memanggil robot itu apabila dikehendaki dengan menggunakan sistem gajet pembantu digital peribadi (PDA).

Robot tersebut akan bergerak ke arah lif, mengutip atau menghantar barang dan kembali semula ke lif dengan panduan sistem sinaran laser.

Jurucakap hospital tersebut, Elspeth Campbell berkata, sistem baru itu akan membantu mengawal jangkitan apabila berlaku penularan penyakit.

"Walaupun teknologi ini agak baru, kami tidak berasa bimbang kerana yakin sistem ini akan berjalan lancar," katanya.

Menurutnya, penggunaan robot itu tidak akan mengambil alih tugas manusia sepenuhnya.

Sebaliknya, ia akan memberi banyak masa kepada petugas-petugas hospital memberi tumpuan terhadap pesakit manakala kos pembinaan semua robot tersebut sudah dimasukkan di dalam harga keseluruhan pembinaan hospital baru itu.

Robot-robot berkenaan telah digunakan di beberapa buah hospital di Jepun, Perancis dan Amerika Syarikat. - Agensi

sumber-kosmo