Rahsia Taipei 101



NAMANYA pernah dijulang sebagai menara tertinggi di dunia pada tahun 2004. Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila awal tahun ini rekod itu berjaya dipecahkan melalui pembinaan Burj Khalifa di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai ketinggian 828 meter.

Biarpun tidak lagi memegang status tersebut, Taipei 101 yang mempunyai ketinggian 528 meter tetap mempunyai keunikannya tersendiri. Terletak di daerah Xinyi, Taiwan pembinaannya telah dimulakan pada tahun 1999 sebelum siap pada 2004 dengan kos NT$58 billion (RM5.8 billion).

Sebaik dibuka ia telah menjadi mercu tanda baru dan kebanggaan rakyat Taiwan. Lebih-lebih lagi, menara yang juga dikenali sebagai Pusat Kewangan Taipei itu berteraskan rekaan, teknologi dan inovasi tercanggih yang belum pernah dipraktikkan di mana-mana bangunan tertinggi ketika itu.

Struktur menara itu dikatakan mampu menahan angin kencang selaju 216 kilometer sejam (km/j) dan sebarang kejadian gempa bumi yang sinonim di rantau ini khususnya di Taiwan.

Rahsianya terletak pada batu ladung gergasi dikenali sebagai Super Big Wind Damper, seberat 900 tan yang bertujuan mengimbangi sebarang gegaran dan pergerakan bangunan.

Sebanyak 36 tiang menjadi penyokong Taipei 101, termasuk lapan tiang mega dipadatkan dengan konkrit padu (10,000 psi). Substruktur menara ini juga diperkukuhkan dengan 380 cerucuk ditanam sedalam 80 meter ke dalam tanah.

Reka bentuk struktur bangunan itu diilhamkan oleh arkitek tempatan, C.Y. Lee & Partners. Ia menggabungkan gaya pascamoden yang merangkumi elemen reka bentuk Asia di samping aspek seni bina moden antarabangsa.

Reka bentuk ciri tradisional Cina jelas kelihatan, sekali imbas bentuknya seakan-akan pagoda yang melambangkan hubungan antara langit dan bumi manakala mercu menara pula berbentuk runcing di bahagian puncaknya.

Di pintu masuk menuju ke aras tingkat 101, terdapat simbol unik dikenali sebagai ruyi yang berkaitan simbol awan. Dikatakan ia bermaksud penyembuhan, perlindungan dan pencapaian.

Bahagian luar menara ini juga direka berdasarkan pengaruh falsafah Feng Shui. Salah satu daripadanya ialah kolam air pancut yang dibina di persimpangan Jalan Songlian dan Jalan Xinyi berhampiran pintu masuk timur menara. Air yang mengalir melambangkan tenaga positif atau chi pada struktur dan penghuninya.

Seperti bangunan lain seumpamanya, Taipei 101 merupakan struktur yang digunakan untuk pelbagai tujuan. Premis jualan terletak di tingkat satu hingga empat, pusat kesihatan di tingkat lima dan enam; pejabat (tingkat tujuh hingga 84), restoran (86 - 88), dek pemerhatian (89, 91 dan 101) dan kemudahan komunikasi (92 - 100).

Bagi memudahkan pergerakan para pengunjung dan komuniti pekerja di bangunan tersebut, sebanyak 61 buah lif termasuk lif dua tingkat disediakan.

Di samping itu, terdapat dua buah lif berkelajuan tinggi yang mampu bergerak sepantas 1,010 meter seminit pada kelajuan maksimum. Ini bermakna, ia mampu membawa penumpang dari Tingkat B1 ke 89 hanya dalam tempoh 39 saat sahaja.

Bermula dari pukul 6 petang hingga 10 malam, pengunjung pasti terpukau melihat warna-warni persembahan lampu seolah-olah obor yang menyala dari puncak menara menandakan kebebasan dan selamat datang.

Menariknya setiap malam Taipei 101 memaparkan salah satu daripada tujuh spektrum warna yang berbeza.

sumber-kosmo

0 Ulasan