Satelit kesan sinaran dari letupan bintang

WASHINGTON 15 Julai – Letupan sebuah bintang lima bilion tahun silam mengeluarkan sinaran paling terang pernah disaksikan sehingga menyilaukan sebuah satelit yang ditempatkan di orbit untuk merakamkan peristiwa seumpama itu.

Cetusan sinar gama dan pancaran sinar-X yang menyusul selepas letupan itu berpunca daripada sebuah bintang yang musnah lima bilion tahun lalu, jauh di luar galaksi Bima Sakti, kata saintis Britain dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), semalam.

Tempoh selama itu diperlukan untuk radiasinya sampai ke satelit pencerap Swift yang berada dalam orbit.

Cetusan sinar-X yang begitu terang menyilaukan Swift pada 21 Jun lalu, dan perisian satelit tersebut menganggapnya sebagai satu kelainan yang tidak perlu dihiraukan, kata pakar astronomi itu.

“Kekuatan sinar-X itu di luar jangkaan dan belum pernah dilihat sebelum ini,” kata penyelidik utama Swift, Neil Gehrels di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard di Maryland.

Katanya, cetusan yang diberi nama GRB 100621A ialah sumber sinar-X paling terang yang pernah dikesan oleh Swift sejak satelit itu mula mencari fenomena sedemikian pada 2005.

“Cetusan itu begitu terang sehingga menyebabkan perisikan analisis data kami berhenti berfungsi,” kata Phil Evans dari Universiti Leicester, Britain.

Beliau mengesan cetusan itu ketika meneliti data yang dirakamkan dari Swift.

– Reuters

sumber-utusan

1 Ulasan