Gunung berapi meletus pertama kali dalam tempoh 400 tahun - gunung berapi Sinabung

Meletus selepas 400 tahun
JAKARTA 29 Ogos - Sebuah gunung berapi di Sumatera Utara, barat Indonesia menghamburkan lahar dan pasir panas jauh ke udara awal hari ini dalam letusan pertamanya dalam tempoh 400 tahun, memaksa 12,000 penduduk melarikan diri.

Sekurang-kurangnya dua maut dengan seorang daripadanya akibat masalah pernafasan manakala seorang lagi diserang sakit jantung. Dua lagi cedera dalam kemalangan jalan raya ketika trak, ambulans dan bas dikerahkan dalam operasi menyelamat.

Pakar gunung berapi kerajaan, Surono berkata, Gunung Sinabung mula bergegar sejak beberapa hari lalu tetapi letusan kecil pagi ini hampir terhenti sepenuhnya.

Pihak berkuasa meningkatkan tahap amaran ke peringkat tertinggi iaitu merah.

Letupan itu menyebabkan pasir dan abu menjulang setinggi 1.5 kilometer ke udara tetapi lahar hanya bergerak dekat kawah gunung tersebut.

Tiada kerosakan besar berlaku, sekadar tumbuhan dan pokok diseliputi debu, kata Surono.

"Pasukan kami bekerjasama dengan pegawai daerah dan wilayah untuk memantau situasi," katanya.

Kali terakhir Gunung Sinabung meletus ialah pada 1600, kerana itu pemerhati tidak mengetahui corak letusan gunung tersebut dan kini memantaunya dengan rapi untuk mengesan aktiviti lanjut.

Penduduk mula dipindahkan dari lereng gunung itu kelmarin apabila terdapat tanda-tanda ia mula aktif.

Sekurang-kurangnya 12,000 penduduk yang melarikan diri ditempatkan di bangunan kerajaan, rumah-rumah ibadat dan pusat penempatan lain di dua pekan berdekatan.

Indonesia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, di mana pertembungan plat benua mencetuskan aktiviti gunung berapi dan seismik. - AP/AFP

sumber-utusan

0 Ulasan