Jujur dalam bercinta

TIDAK mudah untuk setia kepada pasangan. Tetapi tidak bermakna anda tidak boleh berlaku setia sekiranya dia memang anda sayangi dan dia amat menyayangi anda.
Cinta adalah modal utama dalam hubungan antara suami isteri. Namun dengan cinta semata-mata, jalinan kasih tentu tidak mampu bertahan lama. Pasangan juga harus memiliki kesetiaan, saling memahami dan hidup penuh kasih sayang sepanjang hayat.

Jadi, bagaimana memastikan kesetiaan itu? Perhatikan petua berikut yang mungkin boleh dijadikan pedoman:

# Tanpa imbalan
Cinta adalah ketulusan hati justeru tidak perlu mengharapkan yang bukan-bukan demi kesenangan sendiri daripada cinta itu.

Misalnya, jangan berharap dengan mencintai pasangan, anda sering mahukan perhatian yang lebih atau berharap pasangan tidak melakukan kesalahan. Semua itu hanya akan menyakitkan hati anda.

# Jangan banyak permintaan

Jangan cemarkan cinta dengan pelbagai permintaan. Sebaliknya, belajar untuk selalu memberi yang terbaik kepada orang lain termasuk kepada pasangan melalui cinta anda. Hanya dengan cinta tulus, semua itu dapat diwujudkan.

Terlalu banyak meminta hanya akan berakhir pada kepentingan peribadi sehingga tidak mampu menambahkan kematangan dalam perhubungan.
Malah mungkin mampu menghancurkan jalinan kasih anda.


# Jangan takut dikecewakan
Mungkin ini sangat sukar dilakukan. Biasanya, setiap orang selalu menghindari rasa kecewa dan ingin hidup senang tanpa sebarang halangan.

Untuk tetap setia kepada cinta, jangan takut dikecewakan.

Pasti sesekali ada pertengkaran kecil yang membuatkan hati terluka namun jangan takut kerana ia dapat mendewasakan diri daripada kekecewaan kecil sebegitu.
Apabila anda sudah mampu menghadapi situasi sukar ini, anda tetap akan setia terhadap cinta.

# Jadilah penghibur yang baik
Tempat cinta adalah hati. Bila hati sedang terluka, seseorang memerlukan hiburan. Begitu pula bila hati pasangan sedang berduka, hiburkan dia. Cinta anda akan menggerakkan diri untuk menghiburkan dan menjadi penguat semangat untuk si dia.

# Fahami sepenuh hati
Manusia tidak selalu berada dalam situasi yang mudah. Pasangan mungkin dalam kekecewaan, muram, putus asa atau gagal.

Justeru, anda harus memahami hati pasangan dengan sepenuh hati tetapi bukan memburukkan lagi perasaannya. Misalnya anda merungut mengenai kegagalannya atau menyalahkannya. Jauhkan diri anda daripada bersikap sedemikian.

Jika anda cuba memahami hatinya, pasangan akan lebih mencintai.

# Bersyukur
Jangan mengeluh dan mengumpat apabila anda gagal, berduka atau kecewa. Ucapkan syukur atas kurniaan itu dan penuhi hari dengan pelbagai pengalaman hidup.

Bersyukur akan membuatkan anda tetap setia dalam cinta. Kekalutan hidup tidak akan membuat jiwa anda kerdil. Sebaliknya, anda akan semakin tabah dan hubungan kasih dengan pasangan akan semakin kukuh.

sumber-metro

2 Ulasan