Olympus E-PL1

AGAK keterlaluan untuk mengatakan kecanggihan teknologi kamera pada masa kini menggugat kredibiliti kebanyakan jurugambar kerana mereka adalah golongan yang lebih pakar dan berpengalaman di dalam bidang fotografi.

Namun dengan perkembangan teknologi pengimejan yang semakin pesat, penghasilan gambar dengan 'kualiti setanding' kini bukan lagi sesuatu yang mustahil di tangan pengguna bukan profesional.

Keupayaan pemprosesan, kepantasan, fokus, definisi tinggi dan kepelbagaian fungsi automatik telah membantu pengguna merakamkan gambar dengan lebih baik walaupun hanya dengan sebuah kamera kompak

Bagi yang tidak mahu dibebani kerumitan kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR), model E-PL1 dari Olympus mungkin jawapannya. Dengan saiz dan berat yang lebih kecil, kamera ini menghasilkan gambar dengan kualiti DSLR.

WOW! baru-baru ini menguji Kamera Lensa Boleh Tukar Tanpa Cermin (MILC) itu di Santuari Gajah Kuala Gandah, taman rusa Deerland dan Gua Terang Bulan di Pahang.

Pengendalian E-PL1 cukup mudah. Sebagai pengguna baru, kamera itu berfungsi dengan baik selepas beberapa ketika di tangan saya.

Cuma kaedah penguncian lensa yang tidak membenarkan kamera beroperasi selagi kunci tidak dibuka agak merumitkan.

Selebihnya, E-PL1 adalah kamera yang senang dikendali oleh sesiapa sahaja. Bagi pengguna yang masih ragu-ragu untuk berpindah kepada DSLR, E-PL1 adalah pilihan yang ideal tanpa jurang perbezaan yang terlalu nyata.

E-PL1 menggunakan sensor LIVE MOS 12.3 megapiksel yang bersamaan dengan saiz sensor kamera DSLR. Kelebihan yang digabungkan dengan pemproses imej TruePic itu mampu menghasilkan imej yang jelas dan tajam walaupun dirakam dalam apa jua pilihan mod.

Ia terbukti daripada kira-kira 100 gambar yang dirakam penulis, hanya beberapa keping sahaja yang kabur.

Nyata, teknologi penstabilan imej E-PL1 menjalankan tugas dengan cukup baik. Bahkan kualiti gambar masih jelas walaupun dirakam pada ISO melebihi nilai 1,000 - biasanya menjejaskan kualiti gambar.

Untuk penyelarasan lebih teknikal, pengguna boleh melakukan pengubahsuaian warna, kecerahan dan imbangan putih melalui gelongsor naik dan turun. Dengan keistimewaan fungsi Live Guide itu, pengguna boleh mendapatkan gambar seperti yang diinginkan semudah mengubah warna pada set televisyen di rumah.

E-PL1 sememangnya menyeronokkan bagi mereka yang gemarkan fotografi jalanan. Selain fungsi iAuto, enam pilihan Art Filter disediakan iaitu Pin Hole, Pop Art, Soft Focus, Grainy Film, Gentle Sepia dan Diorama yang memberikan rakaman kesan kreatif.

Kesan khas itu dalam secara langsung telah menjimatkan masa yang biasanya dihabiskan untuk suntingan digital.

Lebih menyeronokkan lagi, Art Filter juga berfungsi untuk rakaman video.

Selain kualiti gambar yang memberangsangkan, model yang diperbaharui daripada dua model PEN terdahulu (E-P1 dan E-P2) ini juga merakamkan video dengan kualiti definisi tinggi (HD).

Bagaimanapun, secara peribadi saya kurang menyukai butang video di belakang kamera yang terlalu 'sensitif'.

Meskipun ia direka sebagai butang pintas untuk rakaman video, butang yang mudah tersentuh tanpa sengaja itu menjadikan E-PL1 agak menjengkelkan semasa kegunaan aktiviti luar.

Meskipun E-PL1 ditingkatkan dengan flash bina dalam (tidak terdapat pada E-P1), ia masih mempunyai kekurangan kerana ketiadaan pancaran infra merah untuk pemfokusan.

Semasa berada di bahagian paling gelap di Gua Terang Bulan, tiada sebarang gambar dapat dirakamkan penulis. Namun sebaik sahaja titik fokus ditemui, E-PL1 kembali membuktikan kehebatan kualiti imejnya walaupun dalam cahaya rendah.

E-PL1 yang dijual pada harga RM2,499 dipadankan dengan lensa (14-42 mm, f/3.5 -5.6) manakala set dengan lensa 14-150mm f/4.0- 5.6 (RM3,899). Harga untuk lensa luas 9-18mm pula boleh didapati pada harga RM2,400 (asing).

sumber-utusan

1 Ulasan

  1. macam sangat menarik dan tertarik ja nieh.

    BalasPadam