Kereta terbang hampiri realiti - Transformer

Kereta terbang hampiri realiti
ANDA mungkin sering mendengar cerita mengenai konsep kereta terbang tetapi tiada satupun yang benar-benar boleh dibeli di pasaran. Kebanyakannya gagal dikomersialkan untuk pasaran pengguna biasa - mungkin kerana terlalu mahal atau tidak praktikal langsung.

Bagaimanapun, impian anda kini menghampiri realiti apabila ada syarikat yang berjaya membangunkan kereta terbang yang 'benar-benar' boleh terbang dan juga harganya tidak terlalu mahal.

Transition adalah nama kereta terbang atau pesawat darat itu keluaran Terrafugia. Walau apa sahaja namanya yang anda gelar, tetapi kenderaan itu telah diuji kemampuan terbangnya pada Mac lalu.

Kenderaan hibrid gabungan kereta dan kapal terbang ini juga telah menerima pengiktirafan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

FAA telah memberi kebenaran kepada kenderaan ini untuk mempunyai berat melebihi daripada berat standard pesawat sukan ringan (LSA) iaitu 599 kilogram.

Ini bermakna juruterbangnya tidak memerlukan lesen juruterbang biasa yang memerlukan kelulusan tertentu tetapi hanya perlu mengikuti kursus mudah sebagai juruterbang LSA.

Terrafugia mahu memasarkan Transition kepada juruterbang persendirian sebagai cara lebih mudah dan lebih murah untuk terbang.

Syarikat itu menyediakan latihan selama 20 jam untuk mereka yang berminat memandu Transition dan juruterbang sedia ada hanya memerlukan kursus persediaan sahaja.

Menurut syarikat itu, kereta terbang itu kini boleh ditempah dengan membuat pembayaran deposit sebanyak RM31,346 untuk kenderaan yang dijangka berharga antara RM627,000 dan RM784,000.

Setakat ini, syarikat itu telah menerima 80 tempahan dan penghantaran pertama dijangka dapat dilakukan menjelang akhir tahun ini. Apa yang menarik mengenai pesawat ini ialah ia mempunyai sayap yang boleh dikembangkan apabila ia terbang dan dilipat apabila dipandu sebagai kereta.

Kenderaan ini juga mempunyai sistem keselamatan ketika beroperasi sebagai pesawat atau kereta seperti beg udara, sistem payung terjun dan sebagainya.

Ketua Pegawai Eksekutif Terrafugia, Carl Dietrich berkata, Transition akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terbaik untuk pesawat dan automobil dan menjadi "salah satu LSA paling selamat di dunia."

Bagi syarikat itu, Transition direka sebagai pesawat yang boleh beroperasi di jalan raya dan bukannya kereta yang boleh terbang walaupun ia mempunyai kedua-dua ciri tersebut.

Transformer

Sebuah lagi prototaip kereta terbang yang telah dibangunkan ialah Transformer (TX), hasil keluaran AVX Aircraft Co.

Pesawat ini masih di peringkat awal kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D)nya untuk projek Agensi Projek Penyelidikan Termaju Pertahanan (DARPA) Amerika Syarikat.

Kenderaan untuk udara dan pesawat ini dirancang untuk kegunaan pihak tentera tetapi tidak mustahil ia akan dipasarkan untuk pengguna biasa seperti juga kereta Hummer.

Bagaimanapun Transformer merupakan gabungan kereta dan helikopter dan boleh berlepas tanpa menggunakan landasan dan mendarat di mana-mana sahaja.

Dua kipas yang diletakkan di belakang kenderaan ini akan memberikan lonjakan sama ada di udara atau darat.

Kelajuannya di udara boleh mencapai 225 kilometer sejam (km/j), 129 km/j di jalan biasa dan 48 km/j di jalan lasak.

Kenderaan ini dapat bertukar dari bentuk helikopter ke kereta dalam masa tidak sampai satu minit dan boleh melakukan penerbangan sejauh 462 kilometer dengan sekali isian minyak.

Kesimpulan, kedua-dua kereta terbang atau pesawat yang boleh beroperasi di jalan raya ini sememangnya teknologi masa depan yang masih ditunggu-tunggu oleh kebanyakan daripada kita.

sumber-utusan

1 Ulasan

  1. kalau murah dan selamat,senanglah...kurang sikit kesesakan jalan raya kot...tapi mesti ada kelemahan dan kebaikan kan kereta terbang ni...

    BalasPadam