Buried papar perjuangan seorang lelaki untuk hidup selepas 'dikebumikan'

Judul: Buried
Pelakon: Ryan Reynolds, Ivana Mino, Anne Lockhart, Robert Paterson, Stephen Tobolowsky Pengarah: Rodrigo Cortes Penulis Skrip: Chris Sparling
Durasi: 94 minit
Tarikh tayangan: 14 Oktober 2010

BAYANGKAN bagaimanakah perasaan anda sebaik saja tersedar daripada pengsan, tiba-tiba mendapati anda ditanam hidup-hidup oleh pengganas dalam sebuah keranda. Pastinya perasaan takut, ngeri, panik menguasai diri ketika itu. Tidak ada apa yang tergambar di fikiran selain mati.

Itulah juga perasaan seorang pemandu trak, Paul Conroy (lakonan mantap Ryan Reynolds) yang mengalami detik mencemaskan dalam filem terbarunya berjudul Buried. Tidak dinafikan, Buried antara filem thriller dan mencemaskan yang termasuk dalam senarai tonton bagi penggemar filem bergenre sedemikian.
Sebagai mangsa tahanan, Paul dikehendaki menghubungi pihak kerajaan supaya menyerahkan wang tebusan sebelum jam 9 malam jika tidak mahu nyawanya menjadi galang ganti. Bersama telefon bimbit yang turut ditanam bersamanya, Paul cuba menghubungi pihak terbabit, majikan, teman rapat, isteri dan juga ibunya bagi mendapatkan bantuan.

Sebagai mangsa tebusan yang berada di dalam keadaan kritikal, Reynolds bijak bermain dengan emosi yang pelbagai. Walaupun ada ketika dia berani, namun apabila berdepan situasi yang mencabar kesabaran seperti diugut, isyarat telefon yang sering terganggu ditambah dengan penganiayaan majikan sendiri, membuatkan dia hampir-hampir putus asa dan mahu membunuh diri.

Lakonannya dikira amat meyakinkan dan pelakon ini nyata tak kisah apabila wajah kacaknya itu disolek comot serta penuh luka sana demi sebuah lakonan berkesan. Boleh dikatakan, dia menghidupkan filem ini secara berseorangan tanpa perlu bergantung kepada mana-mana watak pembantu atau sampingan.

Apa yang menarik, sepanjang 94 minit filem ini diputarkan, perhatian penonton hanya tertumpu di lokasi yang sama iaitu di dalam sebuah keranda. Dalam keadaan sempit dan kesukaran untuk bernafas, Paul berusaha untuk mencari jalan keluar walaupun jauh di lubuk hatinya dia tahu peluangnya untuk terus hidup adalah cukup tipis.

Begitulah bijaknya si penulis skrip filem ini menggarap dialog dan plot sehingga penggunaan lokasi yang sama dari mula sampai penghujung cerita pun boleh nampak menarik, andai tahu memanipulasikannya. Buried hadir persis filem arahan Alfred Hitchcock yang kaya dengan unsur cemas.

Apa yang penting, penonton turut berkongsi ketakutan dan perasaan cemas Paul sepanjang dia berdepan dengan situasi mendebarkan ini.

Melihat kepada plot cerita, ternyata ia membawa mesej impak dan kesan negatif selepas berlakunya peristiwa 11 September.

Hanya kerana Paul seorang rakyat Amerika, dia menjadi mangsa silap faham ekoran pandangan skeptikal Barat terhadap agama Islam itu sendiri. Satu propaganda halus Amerika untuk menunjukkan mereka kononnya tidak berdosa.

sumber-berita harian