SELEPAS cemerlang dengan Bold 9000 dan 9700, kini syarikat pengeluar peranti telekomunikasi BlackBerry, Research In Motion (RIM) memperkenalkan pula edisi ketiga bagi model telefon bimbit pintar itu iaitu Bold 9780.

Ia dilengkapi dengan rekaan kompak yang ikonik, mempunyai papan kekunci dan pad trek mudah serta menawarkan ciri komunikasi multimedia termaju.

Berbeza daripada model-model Bold sebelum ini, peranti berkenaan merupakan yang pertama disempurnakan bersama sistem operasi terkini, BlackBerry 6.

Menurut Naib Presiden Pengurusan Produk RIM, Carlo Chiarello, pembangunan model Bold 9780 memberi fokus kepada aplikasi pengalaman mobiliti terbaik.

''Ia merangkumi penambahbaikan fungsi antara muka pengguna, pelayaran laman web lebih pantas dan berkuasa, keupayaan komunikasi terbaik dan ciri pencarian universal,'' katanya.

Dari segi keupayaan multimedia, ia mempunyai kamera beresolusi lima megapiksel dengan penampilan beberapa kelebihan seperti pemfokusan automatik, pilihan mod dan imej, lampu flash, penstabilan imej dan rakaman video.

Tidak cukup dengan itu, prestasi komunikasinya turut disokong oleh capaian rangkaian 3G, Wi-Fi dan juga sistem penentu kedudukan global (GPS).

Binaan storannya pula dipacu oleh memori flash 512 megabit (MB) dengan sokongan kad memori sehingga 32 gigabit (GB).

Untuk sistem operasi BlackBerry 6, ia menawarkan fungsi pengendalian dan navigasi yang efisien dan lebih pantas.

Ia turut tersedia bersama aplikasi tab akses pelbagai untuk kemudahan aktiviti pelayaran lebih daripada satu paparan secara serentak dengan kelebihan pemfokusan lebih pintar.

Spesifikasi lainnya adalah seperti pengurusan sistem mesej lebih intuitif, kawalan perkhidmatan menerusi RSS Feeds, integrasi mesengger BlackBerry bersama pelbagai laman web rangkaian sosial serta akses kepada aplikasi BlackBerry App World.

BlackBerry Bold 9780 kini boleh diperolehi daripada pengedar-pengedar yang sah di seluruh negara. Maklumat lanjut mengenainya, sila layari laman web www.blackberry.com/bold.

sumber-utusan