PERTENGAHAN tahun lalu, HTC Corporation (HTC) menjadi syarikat telefon bimbit pertama di Malaysia yang memperkenalkan platform Android menerusi peranti selular HTC Hero.

Tampil dengan portfolio yang berbeza untuk tahun 2010, syarikat tersebut baru-baru ini mengeluarkan model HTC HD7 pula dengan sokongan pacuan sistem operasi Windows Phone 7 pula.

Menurut Ketua Pegawai Operasi HTC Corporation, Peter Chou, platform baru itu bakal menawarkan pengalaman mobiliti yang lebih segar kepada pengguna.

"Melalui integrasi bersama Microsoft ini, pengguna akan dapat menikmati aplikasi dan perkhidmatan komunikasi mobiliti yang lebih lengkap serta menyeluruh.

"Untuk platform HTC Hub dan antara muka Tile pula, ia dilengkapi spesifikasi lebih unik dan eksklusif sekali gus memudahkan pengguna mencri maklumat seperti muzik, foto, video, permainan video dan keadaan cuaca,'' katanya.

Di samping itu, model tersebut turut disempurnakan bersama paparan skrin sentuh kapasitif WGVA resolusi tinggi bersaiz 4.3 inci.

Dari segi pembangunan reka bentuknya, model berkenaan mempunyai kemasan yang cukup unik dan menarik.

Penampilan spesifikasi lainnya adalah seperti pemproses Qualcomm QSD 8250 1GHz, memori ROM 512 MB, RAM 576 MB serta memori binaan dalam 16 gigabit (GB).

HTC HD7 bakal berada di pasaran Malaysia menjelang November ini dan ia boleh diperolehi melalui pakej langganan eksklusif daripada Maxis berharga RM2,399.

sumber-utusan