ANDA menggemari muzik dan hiburan? Mungkin produk selular terbaru daripada HTC Corporation (HTC), model HTC Mozart merupakan pilihan yang tepat.

Ini kerana, gajet berkenaan bukan sahaja menawarkan kehebatan fungsi telekomunikasi, malah turut dilengkapi teknologi kuasa audio dengan kesan bunyi menyeluruh dan seolah-olah bernyawa.

Binaan reka bentuknya pula diperbuat daripada aluminium berkualiti tinggi, nipis serta mempunyai dimensi 19 x 60.2 x 11.9 milimeter (mm).

Kelebihan itu menjadikan model tersebut selesa untuk genggaman tapak tangan selain sesuai disimpan di dalam ruang poket.

Dari sudut teknikal, telefon bimbit pintar itu dipacu menggunakan pemproses Qualcomm QSD 8250 1GHz dengan kuasa RAM 576 megabit (MB) dan ROM 512MB.

Sesuatu yang baru, ia tersedia bersama sistem operasi lengkap dan terkini iaitu Windows Phone 7.

Bagi pengguna yang gemar menyimpan fail muzik, video, foto dan pelbagai aplikasi lain, mereka tidak perlu risau tentang kapasiti storan gajet ini kerana HTC Mozart didatangkan bersama memori binaan dalam lapan gigabit (GB).

Melengkapkan lagi kecemerlangan fungsinya, model tersebut mempunyai skrin paparan sentuh WVGA bersaiz 3.7 inci dengan resolusi 480 x 800 piksel.

Kehadiran kamera lapan megapiksel bersama pemfokusan automatik dan lampu flash xenon pula bakal melengkapkan fungsi multimedia telefon bimbit ini.

Untuk perkhidmatan rangkaian, ia dilengkapi dengan keupayaan akses HSPA, WCDMA, GSM dan pelayaran Internet menerusi capaian 3G.

Dengan segala kelebihan itu, HTC Mozart ditawarkan pada harga pasaran RM2,099.

sumber-utusan