Pada musim terbaru ini, AQ5 bakal menampilkan dua hos berpengalaman, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga merupakan pemenang kedua AQ3 dan pernah menjuarai Pertandingan Antarabangsa Al-Quran 2009 serta Mohd Zhafran Zainuldin yang juga merupakan adik kepada Ustaz Mohd Zamri Zainuldin. Kelebihan kedua-dua hos ini ialah mereka amat fasih berbahasa Arab.

AQ5 yang mempunyai 12 episod ini turut menampilkan tiga juri berpengalaman dan pakar di dalam bidang tertentu seperti Ustaz Nazeri Abdullah (qiraat) dan Ustaz Radhi Kamarul Hailan (tarannum) yang sememangnya telah menjadi juri tetap program ini dari musim pertama.

Sementara Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar pula merupakan juri baru yang akan memantau tajwid dan fasohah para peserta kelak. Menariknya musim kelima ini, penonton berpeluang untuk mengenali 10 bakal peserta AQ5 menerusi Nota AQ5 yang akan disiarkan selama tiga minit pada setiap Isnin hingga Jumaat.

Penonton akan bersama-sama peserta menimba satu pengalaman baru di mana menerusi segmen ini, ia mengupas tentang perkara seharian yang kita lakukan selama ini yang secara tidak langsung memberi kesan di dalam kehidupan harian kita. Contohnya berkaitan pemakanan, pembacaan dan pentafsiran Al-Quran.

Sementara Di Sebalik AQ5 juga turut diperkenalkan pada musim ini dan akan disiarkan selama setengah jam pada setiap Jumaat dari jam 6.30 petang. Menarik tentang Di Sebalik AQ5 ini, penonton dapat melihat gelagat peserta dan juga perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas tarannum, tajwid dan qiraat dan juga perkara-perkara yang berlaku di dalam kelas.

Sepanjang ujibakat diadakan, hampir 1000 peserta telah mencuba nasib mereka dan amat menggembirakan apabila kebanyakan peserta yang mencuba nasib berusia antara 7 tahun hingga 10 tahun. Sememangnya bacaan adik-adik yang berusia lingkungan 7 tahun ini sangat hebat dan mendapat pujian daripada pihak juri di negeri-negeri terlibat, namun faktor usia menyebabkan pihak penerbitan tidak dapat mengambil mereka. Peserta yang layak perlu berusia antara 10 hingga 27 tahun.

AQ5 diterajui oleh penerbit Shukri Ibrahim dan penerbit eksekutif Nuraeshah Malik. AQ5 akan menemui penonton pada setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 Januari 2011 ini hanya di saluran TV9, Di Hatiku.

petikan/lebih lanjut www.gua.com.my