Motorola Charm - Teknologi komunikasi sempurna

TERUS merancakkan dunia telekomunikasi moden, Motorola baru-baru ini menampilkan model telefon bimbit pintar Motorola Charm.

Dipacu menggunakan sistem operasi Android 2.1, peranti berkenaan dilengkapi keupayaan kawalan fungsi melalui skrin sentuh dan juga papan kekunci QWERTY.

Ia hadir bersama rekaan kompak dan bergaya sesuai untuk tujuan komunikasi secara mobiliti.

Spesifikasi unik model ini ditampilkan menerusi navigasi teknologi Backtrack yang terletak di bahagian tengah skrin.

Tujuannya adalah untuk memudahkan pengguna membuat pilihan operasi seperti e-mel, foto, muzik dan sebagainya hanya menggunakan sentuhan jari.

Kelebihan lainnya, ia menawarkan pengalaman pelayaran web yang berkualiti dan dipertingkatkan menggunakan platform Flash.

Bagi memudahkan operasi pelayaran pula, ia boleh dikawal menggunakan sentuhan dua jari selain disokong oleh perisian Adobe Flash Lite 3.0.

Bagi anda yang menggemari hiburan, aplikasi permainan muzik pada model telefon bimbit ini boleh diselaraskan secara terus kepada Internet untuk fungsi pengecaman ID lagu dan juga paparan lirik.

Menerusinya juga, pengguna akan dapat mencari tajuk lagu kegemaran mereka secara lebih mudah serta mendapatkan siaran stesen radio FM.

Bagi fungsi multimedia, Motorola Charm disempurnakan bersama kamera lima megapiksel dengan teknologi kodak.

Gambar yang telah diambil kemudiannya boleh dimuat naik kepada akaun-akaun laman web rangkaian sosial secara terus.

Menerusi portal Moto Phone pula, pengguna boleh menguruskan data dan kandungan maklumat pada telefon bimbit mereka secara bergerak.

Bagi meningkatkan kualiti suara ketika berhubung, Motorola Charm dilengkapi teknologi CrystalTalkTM Plus yang dapat mengurangkan bunyi bising sekitar.

sumber-utusan

0 Ulasan