Gabungan seni dan teknologi

PENGHUJUNG Disember tahun lalu, syarikat pengeluar rangkaian produk elektronik terkenal, LG Electronics (LG) telah memperkenalkan model telefon bimbit pintar LG Optimus One dan Optimus 7.

Memperkasakan penjenamaan itu, LG baru-baru ini menampilkan pula model LG Optimus Black yang turut disokong penguasaan sistem operasi Android.

Sesuatu yang unik mengenai model tersebut, bahagian luarnya disempurnakan dengan rekaan corak seni yang mengambil ilham artis pop legenda Amerika, Keith Haring.

Idea penghasilan itu merupakan hasil usaha sama antara pihak LG bersama Yayasan Keith Haring.

Ia merupakan kerjasama kali kedua selepas penampilan rekaan seni menerusi telefon bimbit model LG KF600 dan LG KF700 pada tahun 2008.

LG Optimus Black yang mempunyai ketebalan hanya enam milimeter (mm) dan berat 109 gram merupakan telefon bimbit pintar Android ternipis di dunia.

Menurut Presiden LG Electronics Mobile Communications, Dr. Jong-seok Park, Keith Haring merupakan individu yang memberi inspirasi seni, bertenaga, menonjolkan kepelbagaian warna dan dikenali ramai di seluruh dunia.

''Kita berharap menerusi kerjasama ini, ia akan memberi maksud yang lebih konsisten terhadap matlamat dan falsafah syarikat iaitu Life's Good,'' jelasnya.

Untuk tujuan itu, model telefon berkenaan akan didatangkan bersama beberapa rekaan seni ikonik pada bahagian pelindung belakang.

Selain gaya, telefon selular berkenaan turut disempurnakan dengan fungsi yang mantap dan berkualiti tinggi.

Antaranya adalah seperti sistem bunyi terbaik dan teknologi skrin NOVA yang menyediakan fungsi kecerahan paparan terbaik dalam apa jua keadaan.

Skrin NOVA menyediakan pengguna pengalaman pelayaran web lebih natural dan menjimatkan kuasa sehingga 50 peratus.

Di samping itu, ia turut menawarkan keupayaan kawalan operasi lebih intuitif seperti sentuhan dan goncangan.

Penampilan spesifikasi lain adalah seperti kamera dua megapiksel dan sistem operasi Android 2.3.

LG Optimus Black ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan putih.

sumber-utusan