Mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita bernama Ummi yang telah ditinggalkan oleh suaminya. Walaupun Ummi seorang yang hidup dalam susah dan buta huruf, namun beliau tetap prihatin terhadap tiga orang kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Comel, Amir dan Danish, masing-masing mempunyai sejarah hidup yang perit dan sentiasa ditindas telah dipelawa untuk hidup bersama dengan Ummi.

Comel merupakan seorang budak perempuan yang sering dimarahi, dipukul dan diherdik oleh bapa tirinya, Junaidi. Amir pula seorang budak tempang yang hidup mengemis tetapi amat suka membaca manakala Danish yang membesar dalam kancah jenayah terpaksa mencuri untuk menampung kehidupannya. Walaupun Ummi hanyalah seorang wanita yang biasa, berusaha hidup dengan bekerja sebagai pencuci dan juga mengutip barang terpakai untuk dijual tetapi beliau kaya dengan kasih sayang dan sedia berkorban untuk tiga orang insan yang tidak mempunyai sebarang talian persaudaraan dengannya.

Pada permulaan siri, Ummi cuba membantu Comel tetapi ditegah oleh jirannya dan sering dimarahi oleh Junaidi. Cubaan Ummi untuk membantu Comel hanya membawa padah kepada Comel. Namun, Ummi tidak pernah berputus asa. Sikap bengis Junaidi yang tidak layak menjadi penjaga kepada Comel mendorong Ummi untuk membela nasib Comel. Akhirnya, Junaidi menyerahkan Comel kepada Ummi selepas Ummi membantu menyelesaikan hutang Junaidi. Namun, hati Comel masih belum terbuka untuk berkongsi masalah dan rahsia yang menghantuinya.

Amir yang sedang mengemis kelihatan seperti tidak bermaya dan akhirnya jatuh pengsan. Nasib baik Ummi terserempak dengannya dan membawanya ke hospital. Ummi mengajak Amir untuk tinggal bersamanya kerana mereka dapat ‘menjaga’ satu sama lain, Amir juga boleh mengajar Ummi membaca. Akhirnya, Amir berjaya dipujuk.

Danish pula sememangnya seorang remaja yang liar. Atas pengaruh Wahyudi, Danish mula melakukan kerja pecah rumah. Nasib dia malang apabila dia ditangkap sewaktu pecah rumah Pak Man. Ummi berjaya memujuk Pak Man supaya melepaskan Danish untuk berada di bawah penjagaannya. Akhirnya, Comel, Danish dan Amir berpindah ke rumah Ummi dan memulakan kehidupan baru.

Dalam proses mengenali hati budi dan menyesuaikan diri antara Ummi, Comel, Danish dan Amir, tiba-tiba, suami Ummi, Bahar muncul kembali dalam hidup Ummi. Selain itu, Ummi mula berdepan dengan pelbagai masalah apabila dia berusaha untuk menyekolahkan anak-anaknya terutamanya siapakah sebenarnya Amir.

Danish sering diejek oleh rakan-rakan sekolahnya dan kembali memberontak. Leman pula sering menghubungi Danish dan berjayakah Danish menjauhkan diri daripada hasutan Leman? Bagaimana pula dengan Comel yang masih berahsia dengan Ummi? Bagaimana pula Ummi berdepan dengan Bahar?

Lakonan
Umie Aida (Ummi), Khyreena Kemal (Comel), Danish Adam (Amir),Ahmad Fadzli Masri (Danish) Sharul Kamaludin (Bahar), Fikhree Bakar (Dr. Idrus), A. Wahab (Pak Man), Sharissa Chong (Mei Ling), Zhafri Suhaimi (Firdaus), Riki Rikando Idris (Leman), Kamariah (Mak Limah), Marup Mustapah (Junaidi)

Setiap hari Ahad jam 9 malam mulai 30 Jun 2013