SYDNEY 12 Nov. - Sebuah bongkah ais besar dikesan dekat sebuah pulau di kedudukan antara Antartika dan Australia, satu pemandangan yang jarang-jarang dilihat di perairan utara Australia.

Sekumpulan penyelidik daripada Bahagian Antartika Australia yang bertugas di Pulau Macquarie kira-kira 1,500 kilometer di tenggara Tasmania pada awalnya melihat bongkah ais itu kira-kira lapan kilometer dari barat laut pantai di pulau itu.

Bongkah ais itu yang dianggarkan berukuran 50 meter tinggi dan 500 meter panjang berkemungkinan adalah sebahagian daripada beberapa bongkah ais besar yang pecah di Rose Ice Shelf di Antartika antara 2000 dan 2002, menurut glasiologis Bahagian Antartika Australia, Neal Young.

Katanya, beberapa buah bongkah ais telah perlahan-lahan hanyut dari arah utara menuju ke pulau itu sejak beberapa tahun lepas, tetapi ia dikatakan sesuatu yang luar biasa untuk ia bergerak jauh menghala ke perairan utara yang lebih panas.

Para saintis itu percaya bahawa bongkah ais itu akan pecah dan mencair dengan cepat semasa ia meneruskan 'perjalanannya' ke arah perairan utara.

"Bagaimanapun, sebelum ia mencair, ia mungkin boleh mengundang bahaya kepada kapal-kapal yang melalui kawasan perairan itu," katanya. - AP

-sumber-utusan