Crayon Shin-chan (クレヨンしんちゃん Kureyon Shinchan) merupakan siri komik dan anime yang direka oleh Yoshito Usui. Siri ini mengisahkan gelagat seorang budak berumur lima tahun dan keluarganya yang berlatarkan sebuah rumah di bandar Kasukabe, Saitama, Jepun.

Kebanyakan gelagat lucu dalam siri ini berasaskan penggunaan bahasa Shin-chan yang salah dan kadang-kadang dianggap agak tidak semulajadi, serta perangainya yang nakal. Lawak-lawak sebegini mungkin sukar diterjemah untuk pembaca dan penonton yang bukan berbahasa Jepun, maka para penterjemah di merata dunia terpaksa menulis lawak sendiri untuk melitupi kesulitan ini. Shin-chan sering mempermainkan dan mempersenda ibu bapanya dengan kesilapannya menggunakan perkataan yang sepatutnya.

Jalan-jalan cerita yang dipancarkan dalam anime Shin-chan berdasarkan cerita yang dilakar dalam komiknya. Rancangan anime ini telah menghadapi kontroversi yang dicetuskan oleh ibu bapa yang bimbang bahawa watak utama, iaitu Shin-chan, boleh dijadikan contoh yang tidak baik untuk penonton-penonton muda. Shin-chan sering dibandingkan dengan Bart Simpson dalam sitkom animasi barat The Simpsons, tetapi kedua-dua watak animasi ini jauh perbezaan di antara mereka. Khasnya, Bart lebih tua dan nampaknya lebih sengaja berbuat nakal berbanding Shin-chan yang kenakalannya cuma berasaskan ketidakendahannya untuk berkelakuan yang baik yang berpada-pada dengan umurnya.

Punca kontroversi siri Crayon Shin-chan adalah sikap watak utamanya yang adakala mendedahkan alat kemaluan dan punggungnya di depan ibu bapanya, kawan-kawannya ataupun di khalayak umum, tanpa secebis pun sikap bertimbang rasa terhadap rasa malu yang dirasai keluarganya.

sumber-wikipedia