LONDON - Sebuah kereta Aston Martin DB5 tahun 1964 berwarna perak yang dipandu oleh aktor Sean Connery dalam filem James Bond akan dilelong pada 27 Oktober depan di London dan disifatkan oleh pelelong kereta, RM Auctions sebagai kereta paling popular di dunia.

Model itu dijual oleh seorang pengacara radio, Jerry Lee yang membelinya dari kilang Aston Martin pada harga AS$12,000 (RM39,600) pada tahun 1969 selepas digunakan bagi tujuan promosi filem James Bond.

Sejak itu, kereta itu jarang dilihat oleh orang ramai.

Walaupun bangga dengan keretanya itu, Lee jarang memandunya.

Sebaliknya, dia menyimpan kereta itu dan ia berada dalam keadaan yang baik selama 40 tahun.

Tidak seperti kebanyakan kereta lain, DB5 itu akan memberi keuntungan berganda kepada Lee.

Kereta itu dijangka dijual pada harga sekurang-kurangnya AS$5 juta (RM16.5 juta).

Namun begitu, Lee tidak bercadang untuk mengambil wang tersebut.

Hasil lelongan itu akan disalurkan ke Yayasan Jerry Lee.

Aston Martin DB5 itu merupakan sebuah daripada dua buah kereta yang dipandu dalam filem Goldfinger dan Thunderball. Ia turut dilengkapi dengan gajet-gajet seperti mesingan tiruan, nombor plat yang boleh dipusing dan skrin asap. - Agensi

sumber-kosmo