BILIONAIR dan bekas bilionair ini terpaksa melepaskan kehidupan mewah sama ada menerima hukuman penjara seumur hidup, dipenjarakan untuk tempoh tertentu atau hidup sebagai orang buruan.

Wong Kwong Yu
China
Dipenjarakan
Wong Kwong Yu juga dikenali sebagai Huang Guangyu. Dulunya dia lelaki kaya di China tetapi kini dipenjarakan 14 tahun selepas didapati bersalah menjalankan perniagaan haram dan merasuah pegawai kerajaan sebanyak AS$600,000 (RM1.92 juta). Wong, pengasas kedai peralatan elektrik Gome, adalah individu kedua terkaya di China berdasarkan laporan dibuat pada Oktober 2008 dengan aset bernilai AS$2.7 bilion (RM8.64 bilion). Dua bulan selepas itu, pada November 2008, Wong ditahan atas dakwaan memanipulasi pasaran saham. Dia kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi Gomei. Wong yang dikeluarkan daripada senarai bilionair tidak didakwa secara rasmi sehingga Februari lalu.

R Allen Stanford
Amerika Syarikat
Dipenjarakan
Stanford pernah berbangga dengan harta bernilai AS$2.2 bilion (RM7 bilion). Dengan megah dia berkata, kerajaan Antigua dan Barbuda menganugerahkannya pingat Kesatria selain membuat pelaburan AS$100 juta (RM320 juta) dalam liga kriket di Caribbean. Kini, dia dituduh menjalankan skim palsu bernilai AS$8 bilion (RM26 bilion) melalui Bank Antarabangsa Stanford miliknya. Dia diberkas tahun lalu dan pada September lalu dia dimasukkan ke hospital selepas bergaduh dengan rakan dalam sel tahanan di Texas. Stanford yang mengaku tidak bersalah menunggu perbicaraannya tahun depan terhadap 21 tuduhan jenayah pelaburan palsu.

Mikhail Khodorkovsky
Russia
Dipenjarakan
Pada Oktober 2003 kerajaan Russia mengarahkan Khodorkovsky ditahan atas dakwaan menggelapkan wang. Bilionair minyak itu yang pernah menjadi individu paling kaya di Russia dengan harta bernilai AS$15 bilion (RM48 bilion) kini hidup di penjara. Bekas pengerusi syarikat minyak Yukos, Khodorkovsky mula mengumpul kekayaan sejak awal era 90-an melalui perniagaan saham dan perbankan. Dia berkata, kritikan lantangnya terhadap Vladimir Putin mengakibatkan dia kehilangan empayar kekayaan dan kebebasannya.

Platon Lebedev

Russia
Dipenjarakan
Bekas rakan kongsi perniagaan Khodorkovsky dan pernah mendapat gelaran bilionair, Lebedev ditahan empat bulan sebelum penahanan Khodorkovsky. Dia turut dituduh menggelapkan wang dan seperti Khodorkovsky, Lebedev masih dalam perbicaraan atas dakwaan menggelapkan berbilion dolar hasil keuntungan Yukos.

Calisto Tanzi

Itali
Rayuan gagal, dipenjarakan
Bekas bilionair dan juga pengasas Parmalat, syarikat produk tenusu terbesar di dunia satu ketika dulu, Tanzi didakwa melakukan penipuan supaya syarikat miliknya jatuh muflis. Selepas tiga tahun perbicaraan, pada 2008, Tanzi dihukum penjara 10 tahun. Tanzi membuat rayuan tetapi ditunda sehingga Mei 2009. Sementara itu, pada Disember 2009, polis membuat serbuan di rumahnya dan merampas lukisan bernilai lebih AS100 juta (RM320 juta). Parmalat pulih daripada muflis pada 2005 sebelum disenaraikan kembali di bursa saham Milan.

Thaksin Shinawatra

Thailand
Pesalah yang diburu
Bekas Perdana Menteri Thailand yang kini hidup dalam buruan. Thaksin didakwa menjadi pencetus kepada keganasan dilakukan kumpulan Baju Merah di Bangkok yang mengakibatkan 88 orang terkorban. Thaksin mendakwa tuduhan terhadapnya dibuat berdasarkan bukti palsu. Pada 2006, Thaksin digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera dan dihukum penjara dua tahun atas tuduhan rasuah tanpa hadir bicara. Sejak itu, Thaksin hidup dalam buangan di Dubai dan London. Pihak berkuasa Thailand membekukan asetnya bernilai lebih AS$2 bilion (RM6.4 bilion). Sekiranya ditahan, Thaksin mungkin berdepan hukuman mati.

Joaquim Guzman Loera

Mexico
Pesalah yang diburu
Individu paling dikehendaki di Mexico kini hidup menjadi pelarian. Penjenayah yang mengumpulkan kira-kira AS$1 bilion (RM3.2 bilion) hasil duit haram adalah ketua sindiket kartel dadah Sinaloa, antara pembekal terbesar kokain ke Amerika Syarikat. Ditangkap di Mexico atas tuduhan membunuh dan mengedar dadah pada 1993, Loera berjaya melarikan diri dari penjara persekutuan lapan tahun kemudian. Loera atau digelar sebagai El Chapo dipercayai bertanggungjawab terhadap sepertiga atau separuh jualan kokain di Mexcio sejak dia melarikan diri dari penjara pada 2001. Kerajaan Mexico menawarkan ganjaran wang tunai AS$5 juta (RM16 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.

Kemal Uzan & Anak-Anak

Turki
Hidup sebagai pelarian
Anak kepada bekas bilionair Turki, Cem Uzan (gambar) didakwa atas pelbagai tuduhan termasuk rasuah dan penipuan. Dia dilaporkan hidup dalam buangan di Perancis mengelakkan hukuman penjara 23 tahun yang dikenakan terhadapnya. Bapanya, Kemal dan adiknya, Hakan juga menghadapi tuduhan sama. Keluarga berkenaan dikeluarkan daripada senarai individu terkaya di Turki sejak 2004 selepas kerajaan Turki merampas aset lebih 200 syarikat keluarga terbabit yang bernilai AS$5.9 bilion (RM18.88 bilion).

A Alfred Taubman

Amerika Syarikat
Menjalani hukuman penjara 9 bulan
Bilionair pusat beli-belah dan bekas pengerusi Sotheby, Taubman menjalani hukuman penjara sembilan bulan pada 2004 atas kesalahan memanipulasi bidaan lukisan. Pada 2007, Taubman menerbitkan buku mengisahkan perjalanan hidupnya untuk menjadi bilionair dan ketika dipenjarakan. Sejak itu, gelaran bilionair disandangnya dikekalkan dengan aset dilaporkan bernilai AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion). Taubman memiliki 25 pusat beli-belah di 16 negeri di Amerika selain koleksi lukisan kontemporari.

Chey Tae-Won

Korea Selatan
Menjalani hukuman penjara 9 bulan l
Pengerusi Kumpulan SK, konglomerat ketiga terkaya di Korea Selatan menjalani hukuman penjara tujuh bulan pada 2003 atas kesalahan penipuan dan kemudian dibebaskan daripada tuduhan pada 2008. Dua lagi bilionair Korea yang turut disabitkan kesalahan ialah pengerusi Hyundai Motor, Chung Mong-Koo yang turut didakwa menipu tetapi mendapat pengampunan Presiden Korea pada 2008. Pengerusi Samsung Electronics, Lee Kun-Hee pula menghadapi tuduhan lari daripada cukai pada 2009 tetapi kemudian diberi pengampunan.

Martha Stewart

Amerika Syarikat
Menjalani hukuman penjara lima bulan
Salah seorang usahawan wanita terkaya di dunia ini pernah menghuni penjara di West Virginia pada 2004 selama lima bulan. Dia didakwa melakukan jualan saham secara haram tetapi kesalahannya itu tidak menjejaskan hartanya. Harga saham milik syarikatnya, Martha Stewart Living Ominimedia meningkat dua kali ganda ketika dipenjarakan membolehkan Martha menjadi bilionair semula. Bagaimanapun, harga saham berkenaan jatuh menjunam sebaik dia dibebaskan. Martha kini berusaha untuk memasuki kembali senarai bilionair.

sumber-metro