JIKA ada rakan anda mendakwa pernah ternampak kerbau gergasi sedang berehat di tepi lebuh raya yang saiznya seperti lori simen, tentu dia akan lebih terperanjat apabila melihat bas ini.

Manakan tidak! Saiz bas gergasi ini sangat besar sehinggakan kereta-kereta boleh melalui di bawahnya ketika ia sedang berhenti atau bergerak di jalan raya.

Bas gergasi yang dikenali dengan beberapa nama seperti 'Bas Laju 3D', 'Gergasi Transit Boleh Dilalui Kereta' dan 'Bas Mengangkang (straddling)' ini mempunyai ketinggian sehingga 4.5 meter.

Bas yang bergerak menggunakan laluan sendiri seperti monorail itu merupakan bas konsep masa depan yang dicadangkan oleh sebuah syarikat dari China untuk mengatasi masalah kesesakan di bandar.

Ia boleh dikatakan hibrid gabungan bas dan keretapi bandar yang boleh membawa sehingga 1,200 penumpang pada sesuatu masa tanpa menjejaskan lalu lintas.

Bas ini boleh mengambil dan menurunkan penumpang di stesen-stesen khas dibina untuknya tanpa menganggu trafik kerana kereta boleh melalui bahagian bawah badannya.

Pembinaan bas dan juga trek laluannya adalah 90 peratus lebih murah berbanding membina laluan kereta api bandar yang baru sama ada keretapi bawah tanah atau monorail.

Konsep bas elektrik tersebut diperkenalkan oleh Shenzhen Huashi Future Parking Parking Equipment Co. Ltd. dan projek percubaannya akan dilaksanakan mulai tahun ini di daerah Mentougou Beijing, China.

Trek-treknya akan dibina di antara laluan trafik yang memerlukan sedikit modifikasi kepada sistem jalan raya masa kini, selain perlu membina stesen-stesen bas khas untuknya.

Laluan trek

Laluan trek bas itu boleh dibuat dalam bentuk rel jika ia menggunakan tayar keretapi tetapi hanya perlu membuat garisan cat di jalan jika ia menggunakan tayar getah biasa.

Bagi kawasan yang tidak mempunyai stesen khas bas itu, tangga yang terdapat di bas itu boleh digunakan untuk menurun atau menaikkan penumpang.

Seperti bas elektrik atau bas troli, bas gergasi elektrik ini akan sentiasa dicaj menggunakan kabel di atas bumbung bas.

Apabila bas itu berhenti di stesen-stesen besar, ia akan dicaj dengan kuasa lebih tinggi untuk mengembalikan kuasanya untuk bergerak lancar sehingga ke stesen seterusnya.

Kelebihan bas ini juga ialah ia tidak perlu berhenti di persimpangan lampu isyarat kerana tetapan lampu itu akan sentiasa memberinya laluan lampu hijau untuk perjalanan tanpa henti.

Sistem trafik juga akan membolehkan bas tersebut membelok dengan mudah dengan kereta-kereta lain perlu berhenti di jarak yang selamat.

Memandangkan bas ini tidak boleh keluar daripada laluannya, sistem amaran perlu diletakkan di sepanjang laluan untuk memberi tahu pemandu bas jika terdapat halangan seperti kereta kemalangan di hadapan.

Pemandu kereta juga akan diberi amaran melalui sistem laser dan bunyi yang akan memberitahu bahawa mereka menghalang laluan bas atau terlalu dekat dengan bas dan perlu segera keluar daripada landasan.

Bas yang mempunyai saiz enam meter lebar dan 4.5 meter tinggi masih boleh melalui kebanyakan jejantas atau jambatan yang terdapat di jalan raya masa kini.

Kemampuannya untuk membawa sehingga 1,200 penumpang dalam sesuatu masa mungkin kelihatan tidak logik tetapi jika ia mempunyai koc yang bersambung-sambung seperti keretapi, tentu angka itu tidak mustahil dicapai.

Sistem kecemasan penumpang bas ini juga perlu menggunakan sistem kecemasan seperti pesawat, iaitu penumpang boleh terjun menggunakan getah gelongsor yang dipasang di pintu kecemasan.

Apa yang menarik bas ini juga tidak memerlukan stor simpanan khusus ketika menghentikan operasinya pada waktu malam kerana ia boleh ditinggalkan di stesennya tanpa menganggu trafik.

Projek percubaan bas ini akan dijalankan trek sepanjang 186 kilometer (km) di Mentougou dan jika berjaya, ia akan dilaksanakan di seluruh China.

Antara kelebihan membina sistem ini juga ialah ia mesra alam kerana menggunakan elektrik dan menjimatkan masa pembinaan kerana hanya memerlukan satu tahun untuk membina laluan 40 km, berbanding tiga tahun untuk membina laluan monorail.

Sememangnya, pertambahan penduduk yang pesat di negara yang mempunyai rakyat paling ramai di dunia itu memerlukan teknologi-teknologi moden untuk membantu rakyatnya menjalani kehidupan.

Bas gergasi ini merupakan idea pengangkutan moden paling praktikal pernah dikemukakan oleh negara tersebut dan jika menjadi kenyataan, maka negara itu mungkin menjadi pengeksport teknologi baru pula di masa depan.

sumber-utusan