-Info
SUSPEK: Anthony Morley
UMUR: 38 tahun
STATUS: Bujang
MANGSA: Damian Oldfield (berusia 33 tahun ketika dibunuh)
FAKTA JENAYAH: Morley menyembelih dan menikam Oldfield, kemudian memasak secebis daging daripada pangkal paha dan dada mangsa. Morley dipercayai menghadapi gangguan perasaan ketika melakukan pembunuhan itu
FAKTA KES: Morley didapati bersalah menyerang dan membunuh Oldfield dan dihukum penjara minimum 30 tahun

SEJURUS selepas menyembelih dan menikam kekasihnya hingga mati, dia mengambil sedikit daging daripada pangkal paha mangsanya itu kemudian menggoreng dengan sedikit campuran herba bersama minyak zaitun.

Damian Oldfield, 35, Oldfield adalah pasangan Morley yang juga seorang pegawai pemasaran pengiklanan untuk majalah gay, Bent.

Pada kejadian yang berlaku pada 2 Mei 2008 itu, pasangan gay itu sedang bermadu kasih di rumah milik Morley yang terletak di Leeds, utara England.

Kedua-dua mereka berbual di bilik sambil menonton filem mengenai koboi homoseksual, Brokeback Mountain.

Tiba-tiba saja Morley bertindak di luar dugaan menyembelih Oldfield ketika mangsa terbaring di katil, selain menikamnya beberapa kali. Morley kemudian memotong sebahagian mayat itu untuk dimasak.

Selepas membunuh Oldfield, Morley pergi ke restoran berhampiran dengan pakaian berlumuran darah sebelum mengaku kepada polis bahawa dia membunuh seseorang.

“Dia (Oldfield) cuba merogol saya, lalu saya membunuhnya,” kata Morley membuat penafian melakukan jenayah itu dengan sengaja ketika membuat laporan polis.

Ketika ditanya polis mengapa dia memasak daging mangsa, Morley menjawab dengan bersahaja: “Saya adalah tukang masak. Bagaimana kamu fikir saya dapat melakukannya.”

Morley dipercayai mengalami tekanan perasaan dan trauma kerana pernah dirogol lelaki homoseksual ketika zaman kanak-kanaknya.

Sejak itu Morley menghadapi gangguan seksualiti. Sebab itu, ketika bersama Oldfield, sikapnya berubah dan bertukar ganas apabila mereka melakukan hubungan seks. Morley seakan- akan hilang ingatan dan menyangka teman lelakinya itu cuba merogol.

Morley bukan saja mengambil sebahagian daging daripada pangkal paha pasangannya itu untuk dijadikan makanan, dia turut memotong sebahagian daging di dada dan puting buah dada berukuran kira-kira 21cm lebar dan 11cm panjang.

Mayat Oldfield ditemui di ruang dapur dan seolah-olah sudah dimasak ketika ditemui.

Morley dibicarakan selama dua minggu di Mahkamah Crown Leeds atas tuduhan membunuh rakannya dengan pisau dan memasak mayat itu untuk dimakan.

Hakim James Stewart berkata, Morley tidak menunjukkan kekesalan kerana melakukan pembunuhan itu dan berniat membunuh.

“Sebelum kes ini, saya menganggap zaman kanibalisme (memakan orang) berakhir lama dulu, tetapi tanggapan itu berubah kini.

“Anda benar-benar memberi kelainan kepada mahkamah ini,” katanya.

Pada 20 Oktober 2008, Morley didapati bersalah menyerang dan membunuh Oldfield dan dihukum penjara minimum 30 tahun.

sumber-metro