Tiada bebanan lebih kualiti
MUNGKIN memeningkan kepala jika mahu mencari kenderaan sesuai dengan bajet terutamanya bagi mereka yang baru menceburi alam pekerjaan atau berkeluarga.
pix_middle
Jika mahu kenderaan yang luas dan tidak membebankan untuk membayar ansuran bulan, Persona Elegance adalah jentera yang anda cari selama ini.

Versi baru itu dikenali sebagai Persona Elegance menerima beberapa sentuhan seperti perubahan kosmetik luaran dan dalaman yang bukan saja menarik, malah memberi pulangan wang berbaloi kepada pembeli.


Perubahan terbaru termasuk skirting penuh, bampar hadapan menyamai model Gen.2 CPS dengan gril jalur hadapan rekaan baru.


Jika dilihat dari bahagian depan dengan padanan gril baru yang menghias wajah Persona Elegance ini memberikan imej yang lebih menarik dan garang.


Selain itu, kit badan baru yang lebih menarik juga banyak menyumbang kepada kualiti model terbaru Persona ini.


Paling menarik, lampu isyarat membelok pada cermin sisi yang lebih besar dan berkotak serta dilengkapi lampu belakang LED seperti Exora.


Rekaan dalaman turut mengalami suntikan baru apabila padanan dwi-tona menghiasi segenap papan pemuka dan panel pintu.


Malah, kerusi padanan kulit terbaru menjanjikan keselesaan pemanduan dan kelihatan lebih mewah serta sistem audio yang dipertingkatkan apabila dilengkapi USB, MP3 dan AUX.


Ruang barangan untuk but belakang yang cukup luas turut memberi kelebihan terhadap jentera ini apabila mahu pulang ke kampung atau beriadah pada hujung minggu.


Penampilan terbaru ini, mungkin dapat menyumbang angka pencapaian jualan Proton kerana ia sebuah kenderaan sesuai untuk yang berkeluarga.


Sementara itu, pengendalian yang mendapat sentuhan daripada Lotus turut memberi kelebihan kepada jentera ini ketika mengambil selekoh kerana ia lebih stabil.


Malah, ketika sesi pandu uji terutama ketika mengambil selekoh, ia memberi pengendalian cukup memuaskan walaupun dipandu dalam kelajuan sepatutnya.


Penulis berpendapat kereta ini berada pada tahap yang optimum dan memberikan keyakinan kepada pemandu untuk terus mengemudi stereng dengan baik.


Walaupun ia bukan kenderaan sport, kelajuan dan daya pecutan jentera ini memberi kepuasan kepada pemandu terutamanya di lebuh raya.


Jentera ini turut dilengkapi beg udara berkembar dan sistem anti brek (ABS)

Kesimpulannya, kenderaan ini adalah pakej berbaloi bagi jentera jenama tempatan, malah memberi nilai terbaik kepada bakal pembelinya.

Proton Persona Elegance H-Line ini dijual RM59,499 termasuk insurans.


SPESIFIKASI

PROTON PERSONA ELEGANCE H-LINE


ENJIN

1,597cc Campro IAFM, empat silinder dengan DOHC 16 injap

KUASA MAKSIMUM

82kW pada 6,500rpm

TORK MAKSIMUM

148Nm pada 4,000rpm

CIRI-CIRI KESELAMATAN

Beg udara berkembar, ABS dan EDB

HARGA

RM59,499 atas jalan

TAYAR YANG DICADANGKAN

Corak: ComfortContact-1
195/60R15 88V TL

sumber-metro