Fakta penting HIV, AIDS

1. AIDS disebabkan HIV
HIV ialah virus human imunodeficiency; yang merosakkan sistem pertahanan badan. Orang yang menghidap penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) menjadi lemah kerana badan mereka hilang keupayaan melawan semua penyakit. Mereka akhirnya mati dan sehingga kini belum ada ubat yang boleh menyembuhkan jangkitan HIV.

2. Kemunculan pertama AIDS boleh mengambil masa 10 tahun selepas jangkitan
Virus HIV mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk membiak dan membentuk koloni dalam badan manusia. Inilah sebabnya seseorang yang dijangkiti virus HIV kelihatan dan berasa sihat selama bertahun-tahun dan dalam tempoh inilah dia boleh memindahkan virus berkenaan kepada orang lain tanpa disedari. Ubat yang ada membolehkan individu dijangkiti HIV hidup sihat lebih lama tetapi dia tetap boleh memindahkan virus itu kepada orang lain.

3. HIV dipindahkan melalui cecair badan
Pemindahan virus HIV boleh berlaku pada semua peringkat, sama ada pesakit sudah mengalami gejala AIDS atau kelihatan sihat. Pada individu yang dijangkiti virus HIV, virus ini boleh ditemui pada darah, air mani (termasuklah cecair yang keluar sebelum ejakulasi), lelehan vagina, dari ibu HIV kepada anak dalam kandungan, kelahiran dan susu badan.


4. Jangkitan virus HIV paling kerap berlaku melalui hubungan seks
Percampuran cecair badan berlaku ketika hubungan seks dan ketika itulah virus HIV boleh berpindah masuk ke dalam badan pasangan; terutama jika tisu vagina atau dubur luka; atau menghidap penyakit kelamin. Remaja perempuan lebih terdedah dan berisiko dijangkiti HIV kerana lapisan membran pada vagina mereka lebih nipis berbanding wanita dewasa dan mudah terkena jangkitan.

5. Individu yang menghidap penyakit kelamin lebih berisiko dijangkiti HIV
Menghidap penyakit kelamin akan meningkatkan risiko seseorang dijangkiti HIV dan kemudian, memindahkan jangkitan kepada orang lain jika mereka kerap bertukar pasangan. Individu yang menghidap penyakit kelamin perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin dan dalam tempoh ini mengelak daripada melakukan hubungan seks atau mengamalkan seks selamat (memakai pelindung umpamanya kondom). Malah mereka juga perlu memaklumkan perkara itu kepada pasangan.

6. Risiko jangkitan HIV melalui seks boleh dikurangkan
Ia boleh dicapai dengan tidak melakukan hubungan seks; jika mereka yang tidak dijangkiti hanya mengadakan hubungan seks dengan pasangan sama saja atau mengamalkan seks selamat. Seks selamat bermakna seks yang tiada penetrasi (kemasukan zakar ke dalam vagina) atau menggunakan kondom. Bagaimanapun, kaedah ini masih ada risiko kerana pasangan mungkin luka, kondom bocor atau tertanggal jika tidak dipakai dengan baik. Paling selamat ialah langsung tidak mengadakan hubungan seks.

7. Individu yang menyuntik dadah juga berisiko tinggi mendapat jangkitan HIV
Virus HIV juga boleh dipindahkan melalui jarum suntikan dan ini adalah cara yang paling biasa di kalangan penagih dadah. Selain itu virus HIV juga boleh berpindah jika menggunakan pisau cukur, pisau dan lain-lain alat yang tercemar
(digunakan terlebih dulu oleh individu yang ada HIV).

8. Pegawai kesihatan atau pusat HIV/Aids yang boleh dihubungi untuk ujian dan kaunseling
Sesiapa yang mengesyaki dijangkiti HIV perlu menghubungi pegawai kesihatan atau pusat HIV/AIDS seperti Majlis AIDS Malaysia di talian 03-4045 1033 untuk ujian, nasihat dan kaunseling. Anda tidak perlu bimbang kerana semua maklumat adalah rahsia.

9. Virus HIV tidak berjangkit melalui sentuhan harian
Ini termasuklah bersalaman; berpelukan; menggunakan kolam renang atau tandas yang sama; berkongsi cadar dan sarung bantal, telefon, perabot, peralatan makan dan makanan. Malah, virus ini tidak tersebar menerusi batuk, bersin atau gigitan serangga termasuk nyamuk.

10. Setiap orang berhak menerima belas kasihan dan sokongan
Tidak kira siapa pun yang mendapat jangkitan HIV atau menghidap AIDS, mereka berhak mendapat sokongan dan belas kasihan. Mendiskriminasi atau menyisihkan penghidap AIDS atau individu yang dijangkiti HIV sebenarnya melanggar hak asasi manusia.

11. Bolehkah kita mengetahui sama ada seseorang itu dijangkiti HIV?
Tidak. Tiada cara untuk kita mengetahui sama ada seseorang itu dijangkiti HIV dengan melihat pada fizikalnya saja. Jangkitan HIV hanya boleh dikesan melalui ujian darah. Malah individu yang dijangkiti itu juga mungkin tidak menyedari virus itu ada dalam badan mereka kerana berasa sihat.

12. Jika dijangkiti HIV
Anda perlu memberitahu perkara itu kepada orang yang pernah menjadi pasangan seks anda atau individu yang berkongsi jarum suntikan dengan anda; supaya mereka boleh memikirkan untuk menjalani ujian pemeriksaan HIV. Bagaimanapun, ia bukanlah perkara yang mudah, mintalah nasihat daripada doktor, jururawat atau kakitangan Majlis AIDS Malaysia.

13. Pesakit perlu tahu mereka berhak mendapat rawatan
Memang tidak dapat dinafikan ada petugas perubatan yang kurang senang merawat pesakit kerana mereka kurang pengetahuan. Pesakit yang melalui sebarang bentuk diskriminasi atau dinafikan hak mendapat rawatan kerana menghidap HIV, perlu mencatat butir lengkap mengenai perkara itu, terutama masa, tarikh, tempat dan jika memperoleh nama individu yang terbabit sebagai dokumentasi untuk diambil tindakan undang-undang.

Tindakan undang-undang tidak dapat dilakukan jika tiada dokumentasi atau hanya berdasarkan rungutan. Ini penting untuk menghentikan diskriminasi terhadap pesakit HIV/AIDS kerana setiap orang ada hak sama seperti orang lain.

14. Jika anda pembawa HIV dan hamil
Jangan cuai mengambil ubat sepanjang kehamilan. Ubat itu boleh mengelakkan anak anda mendapat jangkitan HIV. Mereka juga perlu menyedari bahawa tidak boleh melahirkan anak secara normal, sebaliknya melalui pembedahan. Ini kerana ketika proses bersalin secara normal itulah virus akan ‘diwariskan’ kepada anak.

Rasanya, ramai antara kita sudah tahu fakta tersenarai tadi tetapi tahu saja tidak mencukupi kerana perkara lebih penting ialah kesediaan kita untuk menerima kehadiran pesakit dalam kehidupan kita. Jika kita benar-benar tahu dan faham mengenai HIV dan AIDS, kita tidak seharusnya resah apabila mengetahui orang yang duduk di sebelah kita adalah individu HIV, bukan?

sumber-metro